
BUKIT MERTAJAM : Kejayaan Hospital Bukit Mertajam (HBM) disenaraikan dalam kelompok 250 hospital paling hijau di dunia adalah hasil daripada usaha berterusan serta komitmen pihak hospital diketuai Pengarahnya, Dr. S. Prashant dalam membangunkan sistem penjagaan kesihatan yang lestari.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, sebagai contoh, HBM telah memenangi Gold Award bagi kategori ‘Most Sustainable Hospital 2025’ melalui penyertaan bertajuk ‘Pioneering 135 Years of Eco-Friendly Healthcare: HBM’s Journey Towards Becoming a Sustainable Hospital’ pada tahun lepas.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, pencapaian itu dianggap mengagumkan kerana secara keseluruhannya, anugerah berprestij itu melibatkan 399 penyertaan daripada 140 hospital di 14 negara Asia merangkumi 10 kategori berbeza.
“Daripada pengiktirafan di peringkat Asia pada 2025, HBM kini melangkah lebih jauh dengan menerima pengiktirafan di peringkat dunia pada 2026. Ini membuktikan bahawa usaha berterusan dalam aspek kelestarian, kecekapan dan penjagaan kesihatan mesra alam (oleh HBM) telah membuahkan hasil yang membanggakan,” katanya di sini, hari ini.
Jelas Steven lagi, penarafan World’s Greenest Hospitals 2026 oleh Newsweek dan Statista ketika ini bukan sahaja satu pengiktirafan kepada HBM, malah, ia turut mengangkat nama Bukit Mertajam dan Malaysia ke pentas dunia.
Sementara itu, Steven berkata, sepanjang tempoh tiga tahun bermula 2023, pihaknya menerusi pejabat Ahli Parlimen Bukit Mertajam telah berusaha untuk membangunkan HBM menerusi beberapa projek menaik taraf kemudahan seperti tandas awam dan klinik mata dengan peruntukan berjumlah RM250,000.
Pada masa yang sama katanya, perkhidmatan imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) bernilai RM5 juta yang diperoleh melalui peruntukan daripada Kementerian Kewangan turut disediakan untuk kemudahan pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital itu.
“Setiap peruntukan ini secara tidak langsung juga telah membolehkan para doktor, jururawat dan seluruh warga HBM memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat di Bukit Mertajam,” ujar beliau.
Tambah Steven, ketika ini, beliau bersama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen serta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad sedang bekerjasama untuk terus menaik taraf HBM dari semasa ke semasa.
Selasa lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu hantaran di laman Facebook turut mengucapkan tahniah kepada warga HBM kerana menjadi satu-satunya hospital di Malaysia yang tersenarai dalam kalangan 250 hospital terbaik dunia bagi inisiatif kelestarian.-UTUSAN
The post Kejayaan Hospital Bukit Mertajam hasil usaha berterusan bangunkan aspek kelestarian – Steven Sim appeared first on Utusan Malaysia.






