Knight Frank Property Management dilantik urus SÓL Estate di Sarawak oleh Exal

13/05/2025 - 17:56
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 13 Mei – Pemaju hartanah berpangkalan di Australia, Exal melantik Knight Frank Property Management sebagai pengurus hartanah rasmi bagi SÓL Estate, projek kediaman di Sarawak.
SÓL Estate merupakan projek pertama Exal di Malaysia yang menawarkan rumah berkonsep lestari dengan teknologi pintar, selain turut menyediakan perkhidmatan seperti penjaga kediaman, penyelenggaraan landskap, dan akses perubatan 24 jam melalui kerjasama dengan Klinik Valiant.
Fasa 1 projek tersebut habis dijual dan melepasi piawaian kualiti Sistem Penilaian Kualiti bagi Kerja Pembinaan (QLASSIC).
Pengarah Urusan Exal, Albert Ko berkata, kerjasama itu adalah komitmen terbuka kepada pembeli SÓL Estate dibangunkan berasaskan prinsip kepercayaan, ketelusan, dan perancangan menyeluruh.

"Kami memilih Knight Frank kerana kepakaran global dan pendekatan berorientasikan manusia, dengan pelaksanaan tempatan diketuai Jane Liaw, yang berpangkalan di Sarawak," katanya dalam satu kenyataan.
Pengarah Urusan Kumpulan Knight Frank Malaysia, Keith Ooi berkata, peranan firma itu bukan sekadar pengurusan operasi, sebaliknya turut merangkumi usaha membentuk komuniti yang selamat dan saling berhubung.
"Ini tanggungjawab untuk mewujudkan persekitaran yang menyokong dan menghubungkan penduduk," katanya.
Menjelang penyerahan Fasa 1, Exal turut menganjurkan sesi orientasi pembeli di Kuching yang pertama seumpamanya dalam industri dengan kerjasama Knight Frank dan Canaan Building Inspection.
Pembeli menerima panduan teknikal dan berpeluang berinteraksi secara langsung dengan pakar jaminan kualiti.- DagangNews.com
standard


