Kejayaan tangani krisis perkuatkan profil Ab Ghani

LocalFootball
9 Sep 2026 • 3:12 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kejayaan tangani krisis perkuatkan profil Ab Ghani

PETALING JAYA – Krisis menjadi medan terbaik untuk menguji kepimpinan sebenar, terutama dalam menggunakan kepakaran dan kebijaksanaan membuat keputusan bagi mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang timbul.

Kecekapan tadbir urus ketika negara dilanda pandemik Covid-19 menjadi nilai tambah buat Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan yang bakal bertanding merebut jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), 17 September ini.

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menjelaskan, Ab Ghani hadir dengan idea dan cadangan penyelesaian bagi memastikan bola sepak di negara ini terus ‘hidup’ walaupun ketika itu Malaysia dihimpit krisis pandemik Covid-19.

“Kesungguhan Ab Ghani pada waktu itu untuk datang berbincang dengan saya memang cukup besar bagi memastikan kelangsungan Liga Malaysia (Liga M) terus dapat dilaksanakan. Ini kerana jika Liga M berhenti, maka terputuslah mata pencarian ramai pemain, jurulatih dan pegawai kelab.

“Malah untuk menghidupkan semula Liga M bila sudah terhenti lama pasti akan lebih sukar, bukan sahaja untuk menghidupkan kembali Liga M malah seluruh industri bola sepak. Pentingnya ketika itu untuk Liga M berjalan adalah sebagai persiapan Harimau Malaya bagi kempen kelayakan Piala Piala Asia 2023 yang mana akhirnya kita layak ke Doha, Qatar.

“Kita bukan berbincang sekali atau dua kali, tetapi banyak pertemuan diadakan kerana Ab Ghani datang dengan perancangan dan idea bagaimana sukan bola sepak ini boleh diteruskan dalam keadaan yang cukup mencabar,” katanya.

Untuk rekod, berkuatkuasa 16 Mac 2020, semua perlawanan Liga M telah ditangguhkan, susulan penularan wabak Covid-19 yang semakin berleluasa.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pasukan tidak boleh menjalani latihan berpasukan seperti biasa sehinggalah Latihan Fasa 1 bermula pada 15 Jun 2020, iaitu tanpa sentuhan fizikal sebelum kerajaan Malaysia kemudiannya membenarkan Latihan Fasa 2, membenarkan latihan yang membolehkan pemain melakukan sentuhan fizikal pada 15 Julai 2020 mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

Selepas itu, MFL mengumumkan bahawa saingan Liga M kembali bersambung pada 28 Ogos 2020.

“Saya tahu, untuk meyakinkan kerajaan Malaysia pada waktu itu bukan sesuatu yang mudah kerana Covid-19 adalah perkara utama yang perlu diberi perhatian. Jadi MFL menyediakan pelan SOP Gelembung Sukan yang pada saya cukup efektif untuk dilaksanakan, bukan hanya untuk bola sepak malah dijadikan rujukan kepada sukan lain.

“Bagi saya, itulah yang membezakan seorang pemimpin. Dalam keadaan krisis, kita bukan hanya perlu bercakap tentang masalah, tetapi perlu datang dengan penyelesaian dan perancangan.

“Jadi saya tidak terkejut apabila Ab Ghani dicalonkan untuk menjawat jawatan Presiden FAM pula. Saya fikir dengan pengalaman beliau sebagai bekas pemain serta pengurusan bola sepak, ia akan membantu FAM untuk bergerak maju ke depan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Kejayaan tangani krisis perkuatkan profil Ab Ghani appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved