SUKIPT medan lahir pelapis sukan negara

28 Aug 2026 • 2:50 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR: Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 menjadi antara medan penting mencungkil bakat mahasiswa untuk diketengahkan sebagai pelapis sukan negara.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan berkata, temasya edisi ketujuh itu menyediakan ruang kepada atlet institusi pendidikan tinggi (IPT) menguji kemampuan, meningkatkan prestasi dan membina pengalaman sebelum melangkah ke kejohanan lebih tinggi.

“Penganjuran SUKIPT bukan sekadar berorientasikan perebutan pingat antara institusi, sebaliknya menjadi sebahagian daripada ekosistem pembangunan sukan pendidikan tinggi.

“Melalui pertandingan yang kompetitif, atlet mahasiswa berpeluang menilai tahap kemampuan masing-masing, membina keyakinan dan mendapatkan pendedahan pertandingan yang penting untuk perkembangan prestasi jangka panjang,” katanya.

SUKIPT 2026 berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September di Universiti Malaya (UM), membabitkan 8,244 atlet daripada 64 kontinjen dalam 30 jenis sukan.

Temasya itu melibatkan universiti awam, institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS), politeknik dan kolej komuniti dengan beberapa pertandingan turut berlangsung di beberapa lokasi lain.

Keseluruhan komuniti SUKIPT 2026 dianggarkan seramai 10,994 orang termasuk kira-kira 2,000 pegawai dan petugas serta 750 sukarelawan.

Sebanyak RM20,000 turut disediakan bagi pencapaian rekod kebangsaan, selain RM3,000 kepada Olahragawan dan Olahragawati serta RM7,000 bagi Pasukan Terbaik Lelaki dan Wanita. –UTUSAN

The post SUKIPT medan lahir pelapis sukan negara appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved