
KAJANG – Perseorangan lelaki negara, Justin Hoh terpaksa pulang awal daripada Kejohanan Badminton Dunia di New Delhi, India selepas tewas seawal pusingan pertama kepada Lin Chun Yi dari Taiwan.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tertutup Indira Gandhi sebentar tadi, bekas juara remaja Asia itu terpaksa akur menerusi kekalahan straight-set 18-21, 8-21 dalam tempoh 40 minit.
Turun berdepan pilihan ke-12, Justin menampilkan aksi cukup baik, terutamanya di set pertama apabila mampu memberikan tentangan sengit kepada Chun Yi selain tidak membenarkan lawannya mendahului dengan perbezaan mata besar.
Walaupun Justin cuba memastikan kemenangan, namun Chun Yi memanfaatkan setiap pengalaman yang ada apabila menampilkan aksi lebih tenang sebelum menamatkan set pertama sebagai pemenang menerusi keputusan 21-18.
Memasuki set kedua, Justin sudah tidak dapat membendung kehebatan Chun Yi yang mempamerkan aksi dominan apabila menguasai sepenuhnya permainan sebelum pemain Taiwan itu melengkapkan kemenangan 21-8.
“Hari ini memang saya sudah berikan yang terbaik kerana tahu pemain lawan bukan calang-calang. Corak permainan dia hari ini sangat bagus dan saya juga tidak dapat bermain dengan selesa.
“Ini merupakan Kejohanan Dunia pertama saya, jadi satu pengalaman yang sangat baik untuk saya. Selepas ini, saya akan balik dan cuba memperbaiki permainan sebelum Sukan Asia,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Turut tersingkir hari ini adalah beregu campuran profesional, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien yang tewas 16-21, 3-21 kepada pasangan Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Gloria Emanuelle Widjaja. – KOSMO! ONLINE
The post Kejohanan Dunia: Langkah Justin tersekat di pusingan pertama appeared first on Kosmo Digital.





