HULL City meneruskan langkah bergaya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila jaringan lewat Liam Millar memastikan kemenangan 1-0 ke atas Coventry City lewat malam Sabtu.
Gol tersebut bukan sahaja menghadiahkan tiga mata buat Hull, malah membolehkan kelab yang baru dinaikkan ke EPL itu mengekalkan permulaan sempurna dengan dua kemenangan daripada dua perlawanan.
Hull kini mengumpul enam mata dan lebih menarik, mereka masih belum dibolosi selepas dua aksi pembukaan musim.
Kejayaan di laman Coventry itu hadir selepas Hull terlebih dahulu mencipta kejutan besar dengan menewaskan Manchester United 2-0 pada perlawanan pertama musim ini.
Persembahan itu sekali gus memberi isyarat bahawa Hull mempunyai misi lebih besar daripada sekadar mempertahankan status mereka dalam kelompok elit bola sepak England.
Bagaimanapun, kemenangan ke atas Coventry bukan hadir dengan mudah apabila tuan rumah menguasai sebahagian besar permainan dan memberikan tekanan hebat kepada barisan pertahanan Hull.
Penyerang Hull, Oli McBurnie, mengakui aksi tersebut menguji ketahanan pasukannya, namun beliau memuji disiplin pemain yang berjaya melaksanakan perancangan taktikal dengan baik.
"Menjadikan EPL kelihatan mudah? Saya tidak akan kata begitu. Semua pemain beraksi dengan sangat baik dalam dua perlawanan terakhir.
"Hari ini kami datang dengan pelan permainan. Kami tahu Coventry pasukan yang bagus. Kami bertemu mereka dua kali musim lalu dan tahu apa yang mereka mampu lakukan," katanya.
McBurnie turut memberikan penghargaan kepada penjaga gol, Konstantinos Tzolakis yang tampil cemerlang ketika Hull diasak, selain memuji ketenangan barisan pertahanan dalam menghadapi serangan dari kedua-dua sayap.
"Kami tahu mereka akan banyak menguasai bola dan kami bergantung kepada pemain di bahagian belakang untuk yakin menghadapi hantaran dari kawasan sayap dan lintasan bola, selain mempertahankan kawasan kotak penalti dengan baik.
"Tzolakis memang hebat sejak dia menyertai pasukan," katanya.






