Kekangan bekalan air di Selangor berisiko jejaskan pembinaan pusat data pada 2027 – BIMB Securities

LocalBusiness & Finance
8 Oct 2026 • 11:10 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kekangan bekalan air di Selangor berisiko jejaskan pembinaan pusat data pada 2027 – BIMB Securities Image from: Kekangan bekalan air di Selangor berisiko jejaskan pembinaan pusat data pada 2027 – BIMB Securities amree08/10/2026 - 11:10 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 8 Okt — Isu kekangan bekalan air di Selangor berisiko memperlahankan kelulusan projek baharu dan pemberian kontrak pembinaan pusat data (DC) pada 2027, dengan kapasiti tambahan dianggarkan terhad kepada 60 juta liter sehari (MLD), menurut BIMB Securities.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, bekalan air lazimnya dinilai pada peringkat sebelum pelaburan, menyebabkan ruang kapasiti yang terhad dalam tempoh berkenaan dikhuatiri akan melambatkan kelulusan projek DC dengan penggunaan air melibatkan jumlah kuantiti tinggi.

 

Berdasarkan tempoh pembinaan antara 18 hingga 24 bulan, ia menjangkakan aktiviti pemberian kontrak akan kembali meningkat mulai 2028 apabila pemaju membuat persediaan untuk kapasiti tambahan yang dijangka tersedia menerusi projek Langat 2 Fasa 2 menjelang 2030.

 

"Impak kekangan itu namun boleh dikurangkan menerusi penggunaan sistem penyejukan moden yang hanya memerlukan kurang air, bekalan air terawat semula atau pengalihan projek DC baharu ke negeri-negeri lain seperti Johor," jelas BIMB Securities dalam analisisnya.

 

Air Selangor mempunyai saluran paip loji rawatan air (LRA) yang dirancang berkapasiti 2,360 MLD, dan akan meningkatkan kapasiti kira-kira 37% menjelang 2031 bagi menyokong pertumbuhan permintaan domestik serta keperluan air DC diunjurkan mencecah 632 MLD.

 

Bagaimanapun tambah firma penyelidikan tersebut, ruang bekalan jangka pendek kekal terhad walaupun LRA Rasau Fasa 1 yang berkapasiti 700 MLD dijangka siap pada tahun depan dan memberikan peningkatan sementara terhadap margin rizab bekalan air negeri itu.

 

pusat data_DagangNews2026

 

Menurut BIMB Securities, pertumbuhan permintaan organik sekitar 3% setahun dijangka menyerap sebahagian besar kapasiti tambahan, menyebabkan hanya sekitar 60 MLD kapasiti tambahan boleh disediakan untuk permintaan DC sepanjang 2027 hingga 2029.

 

"Margin rizab ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) adalah 15%, dan ketika ini hanya sekitar 10% daripada keperluan air DC Selangor yang diunjurkan sebanyak 632 MLD, sekali gus menunjukkan cabaran perancangan pelaburan baharu," katanya.

 

Bagi tempoh lebih panjang, penambahan kapasiti utama seperti Langat 2 Fasa 2 berkapasiti 760 MLD pada 2030 dan Rasau Fasa 2 berkapasiti 700 MLD pada 2031 dijangka meningkatkan ruang kapasiti untuk DC masing-masing kepada 523 MLD pada 2030 dan 931 MLD pada 2031.

 

BIMB Securities menambah, kitaran pelaburan secara berterusan dalam pembinaan LRA baharu dan penggantian saluran paip lama yang sudah usang, dijangka menyediakan peluang kontrak berbilang tahun kepada pemain infrastruktur bekalan air.

 

Firma itu menamakan Gamuda Berhad sebagai antara syarikat yang berada pada kedudukan baik untuk merebut kontrak, berdasarkan rekod penglibatannya dalam projek besar termasuk LRA Rasau Fasa 1 dan Skim Bekalan Air Ulu Padas di Sabah. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved