Kekurangan petugas kesihatan Johor kritikal

LocalHealth & Fitness
25 Sep 2026 • 8:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kekurangan petugas kesihatan Johor kritikal

KEKURANGAN lebih 2,000 tenaga kerja di hospital-hospital di Johor disifatkan mencapai tahap kritikal bukan hanya memberi tekanan kepada sistem kesihatan negeri, malah menimbulkan persoalan serius mengenai kebajikan dan kesejahteraan petugas.

Masalah itu dilaporkan melibatkan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Pasir Gudang (HPG), sekali gus memberi tekanan kepada petugas yang terpaksa menanggung beban tugas lebih berat bagi memastikan rawatan kepada pesakit tidak terjejas.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kekurangan tenaga kerja itu amat merisaukan kerana petugas kesihatan sedia ada terpaksa menanggung bebanan tugas melampau demi menyelamatkan nyawa pesakit.

Menurut beliau, keadaan berkenaan turut menyebabkan sebahagian petugas mengambil keputusan meninggalkan perkhidmatan akibat beban tugas yang dipikul.
Beliau memohon pertimbangan Kementerian Kesihatan (KKM) supaya memberikan keutamaan dan perhatian segera terhadap isu kekurangan petugas kesihatan di hospital negeri itu.

Isu itu perlu dilihat lebih jauh daripada soal pengisian jawatan kosong kerana jumlah tenaga kerja tidak sepadan dengan beban tugas boleh beri kesan langsung terhadap kebajikan petugas yang berada di barisan hadapan.

Pegawai Psikologi Kanan, Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar, Universiti Putra Malaysia, Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, kebajikan pekerja tidak seharusnya dilihat hanya daripada aspek kemudahan fizikal, program kesihatan mental atau riadah.

Katanya, kesejahteraan pekerja turut berkait rapat dengan persoalan sama ada seseorang diberikan sumber manusia yang mencukupi untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Beban kerja tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah tugasan semata-mata, sebaliknya perlu dilihat berapa ramai pegawai yang mengendalikan tugasan tersebut, tahap kerumitan tugas, jumlah kes atau pelanggan serta tempoh masa diberikan.

“Keperluan membuat keputusan, dokumentasi dan pelaporan, mesyuarat, tugasan ad hoc, tahap sokongan penyeliaan serta kewujudan pegawai sokongan juga perlu diambil kira,” katanya.

Menurut beliau, seorang pegawai mengendalikan lebih banyak tugasan dengan sokongan kumpulan kerja tidak semestinya mempunyai beban yang sama dengan pegawai yang mengendalikan tugasan lebih sedikit tetapi perlu melaksanakan keseluruhan proses seorang diri.

Dalam konteks hospital, keadaan itu lebih mencabar apabila petugas perlu berdepan dengan jumlah pesakit yang tinggi, tugas memerlukan ketelitian serta keputusan boleh memberi kesan kepada keselamatan dan nyawa.

Siti Fatimah berkata, perbezaan struktur sokongan antara pegawai tidak boleh dilihat semata-mata sebagai isu pentadbiran, sebaliknya perlu dianggap sebagai sebahagian daripada aspek kebajikan dan kesejahteraan pekerja.

Katanya, apabila seseorang pegawai menjadi satu-satunya individu yang mengendalikan sesuatu fungsi, risiko yang dihadapi bukan hanya keletihan tetapi turut melibatkan beban kerja berlebihan, kebergantungan kepada seorang individu dan kesukaran mendapatkan pengganti ketika kecemasan.

The post Kekurangan petugas kesihatan Johor kritikal appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved