
PETALING JAYA – Pasukan Liga Super kini boleh menarik nafas lega apabila Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) meluluskan penambahan lima kuota pendaftaran pemain tempatan bagi musim 2026/2027.
Keputusan Ahli Lembaga Pengarah MFL itu menyaksikan jumlah maksimum pemain yang boleh didaftarkan setiap kelab meningkat daripada 33 kepada 38 pemain, terdiri daripada 15 pemain asing dan sehingga 23 pemain tempatan.
Sebagai rekod, sebelum ini setiap kelab hanya dibenarkan mendaftarkan 18 pemain tempatan dan 15 pemain asing.
Menurut kenyataan MFL sebentar tadi, penambahan lima kuota baharu itu dibuat khusus untuk pemain berstatus tempatan, manakala kuota pemain asing kekal pada 15 pemain.
“Keputusan tersebut menyaksikan jumlah maksimum pemain yang boleh didaftarkan oleh setiap kelab meningkat daripada 33 kepada 38 pemain, melibatkan 15 pemain asing dan sehingga 23 pemain tempatan.
“Penambahan lima kuota baharu ini adalah khusus untuk pemain berstatus tempatan sahaja serta mematuhi syarat-syarat Peraturan Kewangan Adil (FFP),” kata kenyataan tersebut.
Keputusan itu dibuat susulan permohonan daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City FC yang bakal mengharungi jadual padat musim ini.
Kedua-dua wakil negara berkenaan bukan sahaja akan beraksi dalam saingan domestik, malah turut membawa cabaran Malaysia di pentas Asia dan ASEAN.
Jendela pendaftaran pertama pemain bagi Liga Malaysia 2026/2027 akan berakhir pada 3 September depan. – KOSMO! ONLINE
The post Kelab Liga Super boleh daftar 38 pemain – MFL appeared first on Kosmo Digital.






