
KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur City sudah tidak ada alasan selepas sekatan perpindahan pemain berjaya diselesaikan sekali gus beri motivasi tambahan buat pasukan sebelum Liga Malaysia (Liga M) buka tirai, hujung minggu ini.
Segala tunggakan membabitkan bekas pemain import dan pegawai kelab itu sudah pun dilangsaikan, membabitkan nilai hampir RM1 juta.
Pengerusi KL City, Syed Yazid Syed Omar berkata, kelab kini sudah boleh mendaftarkan pemain baharu sekali gus beri kelegaan buat pengendali pasukan, Datuk Dollah Salleh dalam menyiapkan pasukan terbaik.
“Tiada isu lagi berkenaan sekatan perpindahan pemain bagi pasukan KL City. Kita sudah selesaikan segala bayaran dan sekarang kelab bebas untuk membawa masuk mana-mana pemain baharu jika diperlukan.
“Jadi, saya mahu pasukan tidak lagi memikirkan soal sekatan pemain. Perkara itu sudah selesai dan sekarang fokus kita adalah untuk beraksi dengan baik dalam Liga M,” katanya.
Bayaran itu turut merangkumi denda yang dikenakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), sekali gus menyelesaikan isu yang sebelum ini menyekat kelab daripada melakukan pendaftaran pemain baharu.
KL City sudah pun mengumumkan kehadiran Baqiuddin Shamsudin, Gary Steven Robbat dan Hazwan Bakri.
The City Boys akan membuka tirai Liga M menentang Negeri Sembilan FC di Paroi pada Sabtu ini. – KOSMO! ONLINE
The post KL City kini bebas sekatan appeared first on Kosmo Digital.






