
Malaysian Football League (MFL) hari ini meluluskan penambahan kuota pendaftaran pemain tempatan bagi semua kelab yang menyertai Liga Malaysia musim 2026-2027, menjadikan jumlah maksimum pemain yang boleh didaftarkan meningkat daripada 33 kepada 38 pemain.
MFL tambah kuota pemain tempatan
MFL dalam kenyataan memaklumkan kuota baharu itu membabitkan maksimum 15 pemain asing dan sehingga 23 pemain tempatan, manakala kuota pemain asing kekal seperti ditetapkan sebelum ini.
Sebelum ini, setiap kelab dibenarkan mendaftarkan maksimum 33 pemain terdiri daripada 15 pemain asing dan 18 pemain tempatan.
Penambahan lima kuota baharu itu khusus untuk pemain berstatus tempatan dan tertakluk kepada syarat-syarat Financial Fair Play (FFP).
Keputusan berkenaan dibuat susulan permohonan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kuching City FC yang bakal berdepan jadual padat musim ini apabila masing-masing bersaing dalam kejohanan AFC Champions League Elite dan AFC Champions League 2, selain ASEAN Club Championship Shopee Cup serta pertandingan domestik.
Ahli Lembaga Pengarah MFL turut mengambil kira kedudukan Kuching City FC yang tidak mempunyai pasukan simpanan (Reserve Club) dan hanya bergantung kepada pasukan Piala Presiden serta Piala Belia untuk bersaing dalam Liga Malaysia dan kejohanan antarabangsa.
MFL berkata penambahan kuota itu juga dapat membuka lebih banyak peluang kepada pemain tempatan yang masih belum mempunyai kontrak, selain memberi ruang kepada pemain daripada pasukan Piala Presiden dan Piala Belia yang telah melepasi had umur untuk didaftarkan bersama skuad utama.
Miura Jadi Penjaring Tertua Piala Maharaja Jepun Pada Usia 59 Tahun
Kasma Daniel Kekal Terajui SS600 Selepas Podium Di Mandalika
Pada masa sama, penambahan kuota berkenaan dijangka membantu JDT dan Kuching City FC yang mewakili Malaysia dalam kejohanan kelab AFC untuk tampil lebih kompetitif, sekali gus berusaha meningkatkan mata ranking negara dan memburu kejayaan di pentas Asia Tenggara.
Bagaimanapun, setiap kelab tidak diwajibkan memenuhi kuota maksimum 38 pemain yang ditetapkan.
Pendaftaran pemain tertakluk kepada keperluan dan kemampuan kewangan kelab serta pematuhan mekanisme FFP, termasuk pelaksanaan Salary Cap sebanyak 80 peratus bagi musim 2026-2027.
Jumlah minimum pendaftaran pemain bagi setiap kelab kekal pada 20 pemain.
MFL turut memaklumkan jendela pendaftaran pertama pemain bagi Liga Malaysia 2026-2027 akan ditutup pada 3 September 2026.





