Kelantan City FC perkukuh mentaliti, sedia hadapi Negeri Sembilan

FootballSports
27 Aug 2026 • 8:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kelantan City FC perkukuh mentaliti, sedia hadapi Negeri Sembilan
Barisan keseluruhan pemain Kelantan City yang diperkenalkan pada majlis di Kota Bharu.

KELANTAN City FC memberi tumpuan kepada pembentukan mentaliti pemain sebagai persiapan menghadapi Negeri Sembilan FC dalam aksi perlawanan pertama pusingan 16 Piala FA, 2 September ini.

Ketua Jurulatih Kelantan City, Alfredo Gonzalez berkata, aspek mental amat penting kerana pasukannya bakal berdepan lawan daripada Liga Super yang mempunyai kelebihan dari segi pengalaman dan kedalaman skuad.

Menurutnya, pemain perlu turun ke padang dengan keyakinan untuk bersaing dan tidak melihat status lawan sebagai alasan untuk berasa rendah diri.

“Ini 11 lawan 11. Kalau kita fikir mereka kuat, lebih baik tidak bermain dan duduk di rumah. Kita perlu menyediakan pemain dari segi mental untuk memenangi setiap cabaran di atas padang.

“Pemain perlu berjuang mendapatkan setiap bola dan bermain dengan hati serta semangat,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran jersi Kelantan City FC di sebuah hotel di sini pada Rabu.

Turut hadir, Presiden Kelantan City, Tan Sri Annuar Musa.

Alfredo berkata, aspek persediaan mental penting apabila berdepan pasukan yang lebih berpengalaman kerana semangat juang dan disiplin mampu menjadi faktor penentu dalam sesuatu perlawanan.

Katanya, persaingan bola sepak bukan sekadar mengenai kekuatan nama atau kedudukan pasukan, sebaliknya peluang perlu dimanfaatkan dengan persediaan yang betul.

“Kita perlu bermain dengan semangat, susunan dan objektif. Apabila berdepan pasukan yang bermain dengan penuh semangat, disiplin dan mempunyai objektif, ia bukan sesuatu yang mudah.

“Jadi, pemain perlu percaya bahawa mereka mampu bersaing,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, tumpuan juga diberikan kepada peningkatan kemampuan pemain tempatan, khususnya pemain muda yang menunjukkan perkembangan positif sepanjang tempoh latihan.

Beliau berkata, setiap perlawanan perlu dijadikan medan untuk pemain memperbaiki kelemahan dan meningkatkan prestasi dari satu aksi ke aksi seterusnya.

“Dalam bola sepak, kalah adalah sebahagian daripada permainan. Kita boleh menang, kalah atau seri. Apabila kalah, perlu bangkit dan berjuang semula.

“Itulah kehidupan dan perkara penting ialah bagaimana kita bangkit selepas mengalami kekalahan,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved