
KUALA LUMPUR: Kuching City FC tidak berdepan masalah untuk menewaskan Kuala Lumpur City (KL City) FC 6-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Kemenangan besar anak buah Aidil Sharin Sahak sudah dijangka sejak awal apabila tuan rumah yang dikendalikan Datuk Dollah Salleh turun dengan 10 pemain selain hanya satu pemain di bangku simpanan.
Skuad KL City beraksi dengan kekurangan pemain kerana tidak boleh mendaftarkan pemain baharu susulan sekatan pendaftaran pemain yang dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Dalam aksi berat sebelah itu, The City Boys dibolosi seawal minit ketiga menerusi jaringan pemain import Kuching City, Ajdin Mujagic sebelum Jerome Etame meledak gol kedua pada minit ke-25.
Perlawanan menjadi seimbang apabila Kuching City turut terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Okwuosa dilayangkan kad merah susulan kekasaran terhadap S. Sharvin pada lewat babak pertama.
Bagaimanapun, situasi itu tidak menjejaskan rentak Kuching City apabila Etame meledak dua gol pantas menewaskan penjaga gol Kuala Lumpur City, Quincy Kammeraad pada minit ke-48 dan 52, sekali gus melakar hatrik.
Mujagic kemudian meneruskan kenduri gol Kuching City apabila meledak gol kelima pada minit ke-56 sebelum Etame melengkapkan kemenangan besar The Cats pada masa kecederaan.
Kekalahan itu adalah yang kedua buat KL City musim ini apabila kalah ‘percuma’ 0-3 kepada kepada Negeri Sembilan FC selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memutuskan pasukan itu gagal menurun pemain bagi aksi pembukaan Liga Super.
Kemenangan percuma itu diberikan kepada NSFC selepas pertembungan kedua-dua pasukan yang sepatutnya berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu lalu tidak dapat dilangsungkan pada saat akhir.- UTUSAN
The post Kuching City ratah KL City 6-0 appeared first on Utusan Malaysia.






