
SELANGOR FC meraikan kemenangan sulung 4-1 ke atas Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) pada perlawanan pembukaan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV kelmarin dengan penuh rasa rendah diri.
Jurulatihnya, Kim Pan-gon berkata, kejayaan itu merupakan hasil kerja keras kesemua pemain, terutama sepanjang lapan minggu sebelum sepak mula.
Menurutnya, kemenangan itu turut dianggap sebagai titik mula kebangkitan Gergasi Merah untuk menebus kekecewaan menempah tiket ke saingan peringkat Asia apabila sekadar mengakhiri liga di kedudukan ketiga pada musim lalu.
“Tahniah kepada semua pemain yang telah bekerja keras sepanjang lapan minggu ini. Perlawanan pembukaan liga tidak pernah mudah, tetapi mereka berjaya menghadiahkan tiga mata kepada kita semua malam ini (malam tadi).
“Kami raikan kemenangan ini dengan rendah diri dan selepas kekecewaan pada musim lalu, amat penting bagi kami bangkit dan Kembali ke prestasi terbaik pada musim ini,” katanya.
Jurulatih kelahiran Korea Selatan itu menegaskan, sungguhpun pasukan kendaliannya belum mencapai tahap prestasi 100 peratus, mereka perlu memberikan sesuatu yang positif pada setiap perlawanan bagi menceriakan barisan penyokong tegar Gergasi Merah.
“Kekecewaan pada musim lalu bukan hanya dirasai pasukan, malah dalam kalangan penyokong. Sebab itu pada musim ini, kita mesti menceriakan semua pihak dengan kembali ke prestasi terbaik,” katanya. – AGENSI
The post Liga Super: Selangor enggan dabik dada appeared first on Kosmo Digital.






