
KONFLIK di Asia Barat memberi kesan dan tekanan kepada sektor penerbangan yang bergelut dengan pelbagai perubahan saat akhir termasuk jadual dan laluan penerbangan yang mendorong kepada peningkatan kos operasi kepada syarikat penerbangan.
Industri minyak sawit negara sudah bergerak ke hadapan bagi menyokong sektor penerbangan dalam menyediakan landskap pengeluaran bahan api penerbangan mampan (SAF).
SAF diperkenalkan sebagai alternatif kepada bahan api jet konvensional yang dihasilkan daripada bahan mentah mampan termasuk minyak kelapa sawit. Ia merupakan bahan api jenis drop-in yang memenuhi semua keperluan fizikal serta keselamatan tanpa memerlukan perubahan pada infrastruktur atau pesawat.
SAF menawarkan pengurangan ketara dalam emisi yang dikaitkan dengan perjalanan udara.
Malaysia sebelum ini menyasarkan kapasiti pengeluaran SAF melebihi satu juta tan metrik setahun menjelang 2028. Langkah ini disokong pengenalan loji pengeluaran oleh EcoCeres pada Januari 2026 yang merupakan satu penanda aras baharu dalam usaha negara memperkasakan sektor agrikomoditi bernilai tinggi dan ekonomi hijau.
Kapasiti pengeluaran tahunan bagi loji ini adalah sebanyak 350,000 tan dan mampu menghasilkan SAF, minyak sayuran terhidrogenasi (HVO) dan bionafta. Teknologi loji pengeluaran ini menggunakan 100 peratus bahan mentah berasaskan sisa sawit seperti minyak masak terpakai (UCO) dan minyak daripada efluen kilang sawit (POME).
Penggunaan sisa industri sawit sebagai bahan mentah utama membuktikan industri sawit negara bukan sahaja mampan, malah mampu menjadi penyumbang utama penyahkarbonan sektor penerbangan global.
Penubuhan loji ini adalah selaras aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Dasar Agrikomoditi Negara 2030 (DAKN 2030) yang menekankan pembangunan ekonomi hijau.
Selain menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah hijau, loji ini juga mewujudkan lebih daripada 300 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat tempatan.
SASARAN SEJUTA TAN BERDEPAN CABARAN
Bagaimanapun, timbul persoalan, sejauh mana sasaran kapasiti pengeluaran SAF melebihi satu juta tan metrik setahun menjelang 2028 itu berpotensi menyumbang kepada ekonomi negara, khususnya dalam meningkatkan nilai tambah komoditi sawit?
Menjawab persoalan ini, Ketua Kompleks Biorefinari, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Hidayah Ariffin berkata, selain loji di bawah pemilikan EcoCeres Renewable Fuels Sdn. Bhd., sebuah lagi fasiliti di bawah pemilikan Pengerang Biorefinery Sdn. Bhd. dijangka mula beroperasi pada separuh kedua 2028, dengan kapasiti pemprosesan bahan mentah sebanyak 650,000 tan metrik setahun untuk menghasilkan SAF, HVO dan bionafta.
Sasaran kapasiti pengeluaran SAF melebihi satu juta tan metrik setahun menjelang 2028 dilihat agak mencabar kerana bergantung kepada kesiapsiagaan loji milik Pengerang Biorefinery, selain bekalan bahan mentah mampan dan permintaan pasaran.
Kedua-dua fasiliti ini, kata beliau, dibina berasaskan teknologi HEFA yang mana pada ketika ini bahan mentah yang digunakan bagi penghasilan SAF adalah minyak masak terpakai (UCO) dan minyak daripada efluen kilang sawit (palm oil mill effluent oil, POME oil).
Minyak sawit mentah (CPO) belum lagi digunakan sebagai bahan mentah pada ketika ini berikutan peraturan ketat di bawah kerangka CORSIA berkaitan kemampanan minyak sawit.
Justeru, adakah bekalan bahan mentah ini mencukupi untuk menyokong pengeluaran berskala besar? Perkara itu pastinya memberikan cabaran bagi memastikan kelangsungan industri.
Menurut Dr. Hidayah, keperluan bagi pengeluaran pada ketika ini masih lagi mencukupi. Walau bagaimanapun, persoalan ini berkaitan dengan permintaan pasaran.
Pada masa hadapan, pengeluar perlu mempunyai perancangan lain bagi mendapatkan bekalan bahan mentah secara mampan.
PENANGGUHAN MANDAT BUKAN PENGHALANG
Baru-baru ini, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menyatakan pelaksanaan mandat adunan SAF satu peratus bagi penerbangan antarabangsa yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) diselaraskan semula ke 2030 berbanding jadual asal pada Januari 2027.
Keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada industri penerbangan membuat persediaan dan menyesuaikan operasi masing-masing susulan perkembangan geopolitik global yang memberi kesan kepada pasaran tenaga.
Jadi, penangguhan pelaksanaan mandat adunan SAF satu peratus itu juga menimbulkan persoalan mengenai tahap kesiapsiagaan industri. Adakah penangguhan ini berisiko menyebabkan Malaysia ketinggalan dalam persaingan industri SAF global atau sebaliknya memberi ruang kepada pemain industri membina kapasiti dan mengukuhkan rantaian bekalan?
Bagaimanapun, Dr. Hidayah optimis penangguhan ini adalah bagi memberi peluang kepada semua pemegang taruh berkaitan industri SAF untuk lebih bersedia dalam menggunapakai SAF dan tidak akan menyebabkan Malaysia ketinggalan dalam persaingan industri SAF global.
Tambah beliau, SAF di Malaysia pada ketika ini menggunakan teknologi HEFA dan tidak bergantung kepada sisa pepejal sawit. Dalam kes ini, tidak akan ada persaingan dalam penggunaan biojisim sawit untuk pengeluaran SAF.
“Peluang Malaysia sebagai pengeksport utama SAF untuk pasaran Asia Tenggara amat tinggi sekiranya negara-negara ASEAN dapat menerima pakai CPO yang telah disahkan sumber mampan (sustainable CPO) sebagai bahan mentah bagi penghasilan SAF untuk penggunaan industri penerbangan dalam rantau ASEAN (regional flights),” jelasnya.
Jelas, potensi Malaysia dalam industri SAF bukan sekadar bergantung kepada keupayaan membina loji pengeluaran berkapasiti besar, sebaliknya turut memerlukan jaminan bekalan bahan mentah mampan, teknologi bersesuaian serta dasar yang mampu menyokong pertumbuhan industri dalam jangka panjang.
Keupayaan mengurus cabaran berkenaan akan menjadi penentu sama ada sasaran pengeluaran melebihi satu juta tan metrik setahun mampu direalisasikan, sekali gus membuka ruang kepada industri sawit negara meneroka pasaran bernilai tinggi.
Dalam masa sama, perkembangan industri SAF memberi peluang kepada Malaysia mengubah persepsi terhadap minyak sawit daripada sekadar komoditi eksport kepada sumber tenaga alternatif yang mempunyai nilai tambah lebih besar.
Jika segala persediaan dapat dilaksanakan dengan berkesan, Malaysia bukan sahaja berpotensi memperkukuh kedudukannya dalam rantaian bekalan SAF global, malah mampu muncul sebagai antara hab pengeluaran bahan api penerbangan mampan utama di rantau ASEAN. –UTUSAN
PENULIS ialah Pemangku Pengarang Berita Utusan Malaysia.
The post Minyak sawit buka laluan baharu industri penerbangan appeared first on Utusan Malaysia.





