liza04/08/2026 - 12:36 Bandar Kota Bharu Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Ogos – Kerajaan Kelantan merancakkan lagi promosi pelancongan berasaskan perubatan ke Brunei dan Selatan Thailand dalam usaha menarik lebih ramai pesakit asing mendapatkan rawatan di negeri itu untuk merangsang sektor pelancongan serta ekonomi tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor berkata, kedua-dua pasaran itu dikenal pasti mempunyai potensi besar memandangkan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan berkualiti semakin meningkat.
Beliau berkata, bagi pasaran Selatan Thailand, tumpuan diberikan kerana kemudahan hospital bertaraf tinggi di negara itu lebih banyak tertumpu di Bangkok.
“Ini membuka peluang kepada rakyat di wilayah selatan mendapatkan rawatan di Kelantan yang lebih dekat dengan mereka.
“Kerajaan negeri juga sedang meneliti strategi promosi yang bersesuaian bagi memperkenalkan kelebihan perkhidmatan kesihatan di Kelantan kepada pasaran di kawasan tersebut,” katanya selepas merasmikan pembukaan Rovers Hotel @ Kubang Kerian di Kota Bharu.
Kos rawatan lebih rendah jadi tarikan
Selain Thailand, beliau berkata kerajaan negeri turut melihat Brunei sebagai pasaran berpotensi berikutan kemampuan rakyatnya mendapatkan rawatan di luar negara serta kemudahan hubungan serantau yang semakin baik.
Tambahnya, Kelantan mempunyai kelebihan tersendiri kerana menawarkan kos rawatan yang lebih kompetitif berbanding hospital di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka dan Johor Bahru, selain memiliki tenaga pakar serta kemudahan rawatan yang setanding.
“Beberapa hospital di Kelantan termasuk Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian dan Hospital KPJ Kota Bharu, turut menerima pesakit dari Indonesia bagi mendapatkan rawatan serta susulan perubatan.
“Penerbangan terus dari Jakarta ke Kota Bharu juga terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pelancongan perubatan dengan memudahkan pesakit Indonesia mendapatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan di Kelantan.
“Negara jiran Malaysia termasuk Thailand mempunyai kedudukan ekonomi yang baik dan mampu mendapatkan perubatan yang berkualiti manakala kira-kira lima peratus daripada 280 juta penduduk Indonesia mempunyai kemampuan berbelanja untuk rawatan di luar negara," katanya.
Lebih banyak penginapan berhampiran hospital
Sehubungan itu, beliau menggalakkan lebih ramai pengusaha menyediakan kemudahan penginapan termasuk hotel bajet bagi memenuhi keperluan pesakit serta ahli keluarga yang menemani mereka sepanjang tempoh mendapatkan rawatan.
Katanya, penyediaan penginapan yang selesa dan lengkap berhampiran hospital bukan sahaja memberi kemudahan kepada pesakit, malah mampu menjana limpahan ekonomi kepada sektor pelancongan dan perniagaan tempatan.
Rovers Hotel @ Kubang Kerian menawarkan penginapan moden dan mampu milik khusus kepada pelancong, pelawat, pesakit serta waris yang berurusan di HPUSM.
Pemilik hotel itu, Amin Zubair Muhamad berkata, sejak mula beroperasi pada Jun lalu, hotel berkenaan merekodkan kadar tempahan sekitar 65 peratus.
“Ini adalah prestasi yang sangat positif bagi sebuah hotel baharu seperti kami dan yakin akan menjadi pilihan pelancong terutamanya yang mempunyai urusan di hospital berdekatan,” katanya. - DagangNews.com






