KUALA LUMPUR 17 Ogos – Isuzu Malaysia memulakan cabaran mengelilingi Semenanjung Malaysia selama enam hari tanpa mengisi semula diesel menerusi program ‘D-MAX One-Tank, One Nation Challenge’.
Cabaran itu menggunakan Isuzu D-MAX 2.2 liter turbo diesel terbaharu dengan memulakan perjalanan dari Pusat 3S Isuzu di Balakong, Selangor sebelum merentasi beberapa negeri dan kembali ke Kuala Lumpur dalam tempoh enam hari lagi.
Sepanjang perjalanan, D-MAX berkenaan akan mengunjungi lokasi pengedar Isuzu di Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Kelantan, Kedah dan Perak dengan sasaran keseluruhan perjalanan hanya menggunakan satu tangki diesel.
Bagi Isuzu Malaysia, cabaran itu bukan sekadar perjalanan merentasi Semenanjung, sebaliknya menjadi medan untuk menguji sendiri keupayaan dan kecekapan D-MAX 2.2 liter dalam perjalanan jarak jauh.
Satu Tangki Untuk Enam Hari, Rentas Semenanjung
Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenichi Kudo berkata, pihaknya yakin D-MAX baharu dengan enjin 2.2 liter mempunyai kemampuan untuk mengharungi cabaran berkenaan.
Menurut beliau, enjin tersebut mampu menghasilkan penghantaran kuasa yang baik dengan 56% daripada tork maksimum kenderaan tersedia seawal 1,000 rpm.
“Keupayaan itu digandingkan pula dengan kotak gear automatik lapan kelajuan baharu yang membolehkan trak ini memecut dengan cekap dan bertenaga, serta bergerak dengan sangat selesa di lebuh raya,” katanya dalam satu kenyataan.
Gabungan enjin turbo diesel 2.2 liter dan transmisi automatik lapan kelajuan itu menjadi antara keupayaan yang ingin diketengahkan Isuzu dalam cabaran berkenaan.
Sepanjang perjalanan, setiap perkembangan cabaran akan didokumentasikan dan dikemas kini oleh duta jenama Isuzu, Baki Zainal yang akan berada di beberapa lokasi pengedar utama yang menjadi persinggahan D-MAX.
Peminat Isuzu D-MAX juga berpeluang bertemu dan berinteraksi dengan Baki Zainal serta kru yang terlibat selain menikmati jamuan ringan dan menyertai aktiviti di lokasi yang dikunjungi.
Teka Jarak, Rebut Baucar RM5,000
Menariknya, cabaran itu turut membuka peluang kepada orang ramai untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan tersebut dengan meneka jarak yang mampu dicapai D-MAX apabila ia kembali ke Kuala Lumpur pada Sabtu.
Peserta yang memberikan tekaan paling hampir dengan bacaan jarak terakhir yang berjaya dicapai berpeluang membawa pulang hadiah utama berupa baucar beli-belah barangan runcit bernilai RM5,000.
Selain hadiah utama itu, pelbagai hadiah sampingan turut disediakan untuk peserta yang mengambil bahagian dalam peraduan berkenaan.
Orang ramai boleh mengikuti perkembangan perjalanan serta menyertai peraduan D-MAX One-Tank, One Nation Challenge menerusi laman rasmi Isuzu Malaysia. - DagangNews.com





