Anak angkat bukan waris faraid, bagaimana mahu lindungi masa depan mereka?

LocalBusiness & Finance
19 Aug 2026 • 7:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Anak angkat bukan waris faraid, bagaimana mahu lindungi masa depan mereka? Image from: Anak angkat bukan waris faraid, bagaimana mahu lindungi masa depan mereka? Anekdot Mawarith19/08/2026 - 07:00 Oleh ARIFFIN SABIRIN editor@dagangnews.com

Minggu lalu, saya berkesempatan menghadiri Simposium Kehakiman dan Perundangan Syariah Negeri Sabah di Kota Kinabalu pada 12 Ogos 2026. Simposium ini menghimpunkan hakim-hakim Syariah dari seluruh Malaysia, peguam, wakil syarikat amanah, wakil jabatan kerajaan dan para pelajar.

 

Objektif utama simposium ini adalah untuk berkongsi dengan peserta mengenai undang-undang pengangkatan anak bagi orang Islam di Negeri Sabah.

 

Saya difahamkan oleh para hakim yang hadir bahawa banyak negeri lain, termasuk di Semenanjung Malaysia, juga sedang dalam proses menggubal undang-undang pengangkatan masing-masing.


 

solar

 


Dalam artikel yang lalu, saya pernah bercerita tentang betapa pentingnya syarikat amanah dan pengamal undang-undang mengikuti rapat perkembangan undang-undang semasa.

 

Saya bersama pasukan Wasiyyah hadir ke simposium ini kerana kami tahu apabila undang-undang baharu diperkenalkan, kami wajib cakna dan seterusnya mengubah prosedur operasi standard (SOP) kami, terutama dalam mengendalikan isu hibah dan wasiat kepada anak angkat.

 

Undang-undang pengangkatan di Sabah

Pengangkatan anak merupakan amalan yang telah lama menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Malaysia. Ia lahir daripada naluri kasih sayang, keinginan untuk membesarkan anak dan hasrat membantu kanak-kanak yang memerlukan perlindungan.

 

Namun, dari sudut undang-undang dan perancangan harta pusaka Islam, pengangkatan anak mempunyai implikasi yang sangat besar, khususnya apabila melibatkan hak pewarisan, hibah, wasiat dan pengurusan harta selepas kematian.

 

Perkembangan terbaharu yang menarik perhatian industri ialah penguatkuasaan Enakmen Pengangkatan Orang Islam 2024 (Muslim Adoption Enactment 2024) di Sabah yang mula berkuat kuasa pada 26 Disember 2024. Enakmen ini mewujudkan kerangka perundangan khusus bagi pengangkatan orang Islam di Sabah, sesuatu yang tidak wujud secara khusus sebelum ini.


 

Wasiyyah
Pasukan Wasiyyah di Simposium Kehakiman dan Perundangan Syariah Sabah


 

Perbezaan pendekatan Sabah dan Semenanjung

Bagi orang Islam di Semenanjung Malaysia, pengangkatan anak lazimnya dibuat melalui Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 (Akta 253) yang dikendalikan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

 

Kanak-kanak yang telah dijaga, dibesarkan dan ditanggung sebagai anak sendiri selama sekurang-kurangnya dua tahun boleh didaftarkan sebagai anak angkat tanpa memerlukan perintah mahkamah. Sistem ini dikenali sebagai pengangkatan de facto.

 

Sebaliknya, di Sabah, proses pengangkatan bagi orang Islam tidak boleh dilakukan melalui pendaftaran de facto semata-mata. Pemohon perlu mendapatkan Perintah Pengangkatan daripada Mahkamah Tinggi Syariah terlebih dahulu sebelum pengangkatan tersebut didaftarkan dengan JPN. Pendekatan ini meletakkan pengawasan kehakiman sebagai sebahagian daripada proses pengangkatan.

 

Dengan kata lain, jika pasangan Muslim mengambil anak angkat di Kuala Lumpur, mereka boleh menggunakan mekanisme Akta 253 melalui JPN. Namun, jika pasangan yang sama berada di Kota Kinabalu, mereka perlu melalui proses Mahkamah Tinggi Syariah sebelum pendaftaran pengangkatan dapat disempurnakan.

 

Apa yang tidak berubah?

Walaupun prosedur pengangkatan berbeza, satu perkara penting tidak berubah, iaitu kedudukan anak angkat dalam hukum pewarisan Islam.

 

Sama ada pengangkatan dibuat di Sabah atau Semenanjung Malaysia, anak angkat tidak menjadi waris faraid kepada ibu bapa angkatnya. Hubungan pengangkatan tidak mewujudkan nasab dan tidak memberikan hak pewarisan secara automatik sebagaimana anak kandung.

 

Inilah hakikat yang sering tidak difahami oleh masyarakat. Ramai ibu bapa angkat beranggapan bahawa apabila nama anak angkat telah direkodkan dalam sijil pengangkatan atau diiktiraf oleh mahkamah, anak tersebut secara automatik berhak mewarisi harta mereka.

 

Hakikatnya, dari sudut Syariah, pengangkatan tidak mengubah struktur waris yang telah ditetapkan oleh hukum faraid.

 

Akibatnya, ramai anak angkat yang dibesarkan sejak bayi serta mendapat pendidikan, kasih sayang dan perlindungan daripada ibu bapa angkat akhirnya tidak menerima sebarang bahagian harta apabila ibu bapa angkat meninggal dunia kerana tiada perancangan harta dibuat semasa hayat.


 

Wasiyyah
Perkongsian bersama hakim-hakim Syariah Badan Pengadilan Syariah Indonesia

 


Cabaran besar dalam masyarakat

Sepanjang lebih dua dekad saya terlibat dalam industri perancangan harta pusaka Islam, antara kes yang paling menyentuh hati ialah apabila anak angkat yang telah menjaga ibu bapa angkatnya selama bertahun-tahun akhirnya tidak mempunyai sebarang hak terhadap harta peninggalan mereka.

 

Keadaan menjadi lebih rumit apabila ibu bapa angkat tidak mempunyai anak kandung. Mereka menyangka keseluruhan harta akan berpindah kepada anak angkat.

 

Selepas kematian ibu bapa angkat, anak angkat mungkin terkejut apabila mendapati harta tersebut sebenarnya jatuh kepada waris faraid lain seperti adik-beradik, anak saudara atau saudara-mara yang lebih jauh.

 

Keadaan ini sering menjadi punca pertikaian keluarga dan menyebabkan proses pentadbiran pusaka menjadi panjang.

 

Peluang dan tanggungjawab industri perancangan harta

Di sinilah pentingnya peranan pemain industri seperti Wasiyyah. Perubahan undang-undang pengangkatan di Sabah akan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan dokumentasi dan pengesahan status anak angkat.

 

Pada masa yang sama, ia membuka ruang untuk mendidik masyarakat mengenai hakikat bahawa pengangkatan dan pewarisan merupakan dua perkara yang berbeza.

 

Bagi syarikat seperti Wasiyyah, perkembangan ini sebenarnya mewujudkan keperluan yang lebih besar terhadap rumusan perancangan harta yang patuh Syariah.

 

Apabila seseorang mempunyai anak angkat, beberapa persoalan utama perlu dijawab:

  • Bagaimanakah hendak memastikan anak angkat menerima manfaat daripada harta?

  • Berapakah jumlah yang boleh diberikan?

  • Instrumen manakah yang paling sesuai digunakan?

  • Bagaimanakah hendak memastikan hasrat ibu bapa angkat dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan hak waris faraid?

 

Soalan-soalan ini tidak boleh diselesaikan melalui sijil pengangkatan semata-mata.


 

Wasiyyah
Bertukar pandangan bersama Mufti Negeri Sabah, Sahibus Samahah Datuk Dr. Bungsu @ Aziz Jaafar

 

 

Wasiyyah
Penulis bersama Ketua Hakim Syariah Brunei, Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Salim bin Haji Besar. 

 


 

Peranan hibah, wasiat dan amanah untuk anak angkat

Dalam kebanyakan kes, rumusan terbaik ialah menggunakan gabungan instrumen perancangan harta seperti hibah, wasiat dan amanah.

 

Ibu bapa angkat boleh menghibahkan harta, termasuk rumah yang masih bercagar, kepada anak angkat mereka. Harta yang telah dihibahkan akan terkeluar daripada harta pusaka.

 

Wasiat pula boleh digunakan untuk memberikan sehingga satu pertiga daripada harta kepada anak angkat selepas kematian.

 

Amanah boleh diwujudkan bagi memastikan anak angkat terus menikmati manfaat daripada harta mengikut syarat yang ditetapkan oleh ibu bapa angkat.

 

Pendekatan ini bukan sahaja mematuhi hukum Syariah, malah dapat mengelakkan pertikaian yang sering berlaku selepas kematian.

 

Masa depan industri

Saya percaya pengenalan Enakmen Pengangkatan Orang Islam 2024 di Sabah akan menjadi titik perubahan penting dalam landskap pengangkatan anak di Malaysia.

 

Ia menunjukkan bahawa aspek kebajikan kanak-kanak, pengesahan status pengangkatan dan perlindungan hak pihak berkepentingan semakin diberikan perhatian oleh pembuat dasar.

 

Namun, pada masa yang sama, masyarakat perlu memahami bahawa pengangkatan hanyalah langkah pertama. Langkah yang lebih penting ialah memastikan masa depan anak angkat dilindungi melalui perancangan harta yang betul.

 

Bagi Wasiyyah, misi kami bukan sekadar menyediakan dan melaksanakan dokumen hibah, wasiat atau amanah. Misi kami yang lebih penting adalah untuk membantu keluarga Islam memahami bagaimana undang-undang, Syariah dan perancangan harta saling berkait antara satu sama lain.

 

Kerana pada akhirnya, kasih sayang kepada anak angkat tidak cukup sekadar dizahirkan melalui penjagaan semasa hidup. Ia juga perlu diterjemahkan melalui perancangan yang memastikan kebajikan mereka terus terpelihara apabila kita sudah tiada. - DagangNews.com

 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas, Presiden Kumpulan dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

Kolumnis Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved