
Ketua jurulatih Harimau Malaya B-16, Shukor Adan mengingatkan anak buahnya supaya memanfaatkan sepenuhnya kelebihan beraksi di laman sendiri apabila membuka kempen Kumpulan E Kelayakan Piala Asia B-17 2027 menentang Palestin di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, esok.
Shukor mengakui Palestin bukan lawan mudah, terutama dengan kelebihan fizikal yang dimiliki pasukan itu. Namun, dia menegaskan faktor berkenaan tidak seharusnya menjadi alasan buat skuad negara untuk tidak memberikan aksi terbaik.
Menurutnya, perlawanan pertama amat penting dan tumpuan kini terarah kepada persediaan mental pemain bagi menghadapi pelbagai situasi sepanjang perlawanan.
“Alhamdulillah, persiapan berjalan lancar dan semua pemain berada pada tahap terbaik.
“Menjelang aksi esok, saya percaya segalanya tertumpu kepada persiapan mental pemain dan bagaimana mereka menghadapi situasi dalam perlawanan nanti.
“Perlawanan pertama ini amat penting dan saya berharap prestasi mereka dapat diterjemahkan nanti,” katanya pada sidang media praperlawanan, hari ini.
Shukor turut mengingatkan pemain supaya tidak terlalu dibebani tekanan, sebaliknya memberikan tumpuan kepada tugasan masing-masing di atas padang.
“Tekanan sentiasa ada, sama ada bermain di laman sendiri atau di luar negara. Namun, saya sentiasa menasihatkan pemain supaya tidak terlalu memikirkannya.
“Saya berharap para penyokong akan hadir ke stadium untuk memberikan sokongan kepada pasukan,” katanya.
Sementara itu, kapten pasukan, Adam Muqri Muhaizam, menegaskan sasaran skuad negara adalah jelas, iaitu mendapatkan tiket ke pusingan akhir Piala Asia B-17.
Dia percaya persiapan rapi yang telah dilalui menjadi asas untuk pasukan memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang kejohanan.
“Sasaran kami jelas untuk melayakkan diri ke Piala Asia. Saya percaya kami telah membuat persiapan penuh dan semua pemain sedia memberikan 110 peratus di atas padang.
“Pasukan berada dalam mood yang agak serius, tetapi tiada tekanan. Kami mahu menikmati setiap saat untuk perlawanan akan datang.
“Kami sudah mempunyai sasaran dalam kejohanan ini dan akan berusaha untuk mencapainya,” katanya.
Malaysia akan memulakan cabaran menentang Palestin pada jam 9 malam esok, manakala satu lagi pasukan dalam Kumpulan E, India, tidak beraksi pada hari pertama.






