liza14/10/2026 - 11:13 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Okt – Kelewatan memulakan operasi kilang baharu di Kulim, Kedah menyebabkan PGF Capital Berhad terpaksa menolak tempahan eksport yang sepatutnya dipenuhi menerusi kemudahan berkenaan dan menjejaskan potensi pertumbuhan pengeluaran syarikat dalam jangka pendek, kata TA Research.
Firma penyelidikan itu berkata kilang itu hanya dijangka memulakan operasi pada November 2026 berikutan pemasangan bekalan elektrik dan gas masih belum diselesaikan oleh syarikat utiliti.
Pada masa sama, peningkatan kos elektrik dan jangkaan kenaikan harga gas turut memberi tekanan kepada margin keuntungan PGF Capital, yang menghasilkan bahan penebat haba dan bunyi berasaskan gentian kaca atau ‘glass wool’.
TA Research berkata kenaikan kadar Pelarasan Bahan Api Automatik (AFA) turut meningkatkan kos elektrik antara Mei hingga Ogos 2026.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjangkakan PGF Capital mampu memindahkan sebahagian kenaikan kos tersebut kepada pelanggan memandangkan pengeluar lain di rantau ini turut berdepan peningkatan perbelanjaan tenaga.
“Pengurusan syarikat juga sedang berbincang dengan pelanggan berhubung jangkaan kenaikan harga gas pada suku keempat 2026, susulan peningkatan lebih 40% dalam Harga Rujukan Malaysia bagi gas asli cecair (LNG).
“Perbincangan itu masih berlangsung ketika pelanggan menilai daya saing harga produk PGF Capital berbanding bekalan import daripada pembekal serantau,” kata firma itu dalam nota kajiannya.
Unjuran keuntungan disemak turun
Susulan kelewatan operasi kilang baharu, TA Securities menurunkan andaian kadar penggunaan kapasiti pengeluaran ‘glass wool’ PGF Capital bagi tahun kewangan 2027 kepada 40% daripada 50% sebelum ini.
Firma penyelidikan itu menjangkakan pengkomersialan penuh kilang berkenaan hanya bermula pada tahun kewangan 2028.
TA Securities turut menyemak turun unjuran keuntungan bagi tahun kewangan 2027 hingga 2029 sebanyak antara 1.4% hingga 4.5%, dengan mengambil kira penggunaan kapasiti lebih rendah serta kelewatan pelancaran projek pembangunan hartanah di Tanjung Malim, Perak.
Keuntungan teras PGF Capital bagi tahun kewangan 2027 diunjurkan sebanyak RM22.4 juta sebelum meningkat kepada RM55.4 juta pada tahun kewangan 2028.
Projek perumahan Tanjung Malim masih tertangguh
Dalam segmen hartanah, PGF Capital masih berusaha menyelesaikan isu bekalan air sebelum syarikat boleh mengemukakan permohonan Kebenaran Merancang bagi projek perumahannya di Tanjung Malim.
TA Research berkata proses mendapatkan kelulusan itu mengambil masa lebih lama daripada jangkaan walaupun syarikat sedang menangani isu yang dibangkitkan oleh Lembaga Air Perak.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjangkakan isu berkenaan berpotensi diselesaikan memandangkan ia turut melibatkan pemaju hartanah lain di kawasan tersebut.
Prospek pembangunan hartanah di Tanjung Malim turut disokong oleh pertumbuhan taman perindustrian, termasuk pembangunan Taman Teknologi Tinggi Tanjong Malim seluas 180.9 hektar (447 ekar) dengan nilai pembangunan kasar berpotensi RM1.4 bilion.
Fasa pertama pembangunan itu meliputi 42.1 hektar (104 ekar) dan dilaporkan mencatat kadar tempahan sebanyak 50% dengan pelabur yang disahkan termasuk Ningbo Fresh Technology dan Sheentech Automotive System.
TA Research berkata pembangunan industri di kawasan berkenaan berpotensi menyokong permintaan rumah, manakala kos tanah PGF Capital yang rendah iaitu RM3 sekaki persegi, menjadi antara faktor yang menyokong andaian margin keuntungan 40% bagi projek perumahannya.
Belanjawan 2027 dijangka sokong permintaan hartanah
Sementara itu, Belanjawan 2027 dijangka menyokong permintaan hartanah di Tanjung Malim menerusi potongan cukai sehingga RM5 juta kepada vendor automotif milik penuh rakyat Malaysia yang memindahkan operasi ke Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV).
Firma itu berpandangan kehadiran lebih banyak vendor automotif di kawasan itu berpotensi menyokong permintaan perumahan.
Bagaimanapun, cadangan kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 berpotensi meningkatkan kos pekerja PGF Capital, memandangkan kira-kira 150 pekerjanya kini menerima gaji minimum.
Firma penyelidikan itu menganggarkan kos kakitangan tahunan sebanyak RM540,000 bersamaan kira-kira 0.5% daripada kos jualan yang menjadikan kesan kenaikan gaji itu terkawal sekiranya syarikat tidak dapat memindahkan kos berkenaan kepada pelanggan.
Kekalkan saranan beli
Mengambil kira perubahan unjuran keuntungan, TA Research menurunkan harga sasaran saham PGF Capital kepada RM2.70 daripada RM2.73 sebelum ini, tetapi mengekalkan saranan beli terhadap saham syarikat itu.
Harga sasaran tersebut menunjukkan potensi kenaikan sebanyak 51.6% berbanding harga saham RM1.78 ketika ini. - DagangNews.com





