Kelewatan Pan Borneo Sabah perlu tindakan bersama, bukan saling menyalahkan - Salleh

LocalPolitics
15 Oct 2026 • 5:01 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kelewatan Pan Borneo Sabah perlu tindakan bersama, bukan saling menyalahkan - Salleh Image from: Kelewatan Pan Borneo Sabah perlu tindakan bersama, bukan saling menyalahkan - Salleh liza15/10/2026 - 17:01 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Okt – Kelewatan pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah perlu ditangani melalui penyelarasan lebih rapat antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, perunding dan kontraktor bagi memastikan projek itu dapat disiapkan mengikut keperluan rakyat.

 

Ketua Pemeriksa Projek Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, kelewatan Fasa 1A projek berkenaan tidak wajar dipersalahkan kepada kerajaan Sabah semata-mata kerana pelaksanaannya melibatkan pelbagai cabaran teknikal, pentadbiran dan kewangan.

 

Beliau berkata, lebih 70% daripada projek itu membabitkan kerja melebarkan jalan persekutuan sedia ada daripada dua kepada empat Lorong yang melibatkan proses pengambilan tanah, penyelesaian isu bangunan dan penempatan kediaman serta pemindahan utiliti.

 

Perubahan reka bentuk antara punca kelewatan

Menurut beliau, antara punca utama kelewatan ialah perubahan terhadap reka bentuk asal yang tidak mengambil kira sepenuhnya keadaan sebenar di tapak projek.

 

“Perubahan itu memerlukan penilaian lanjut serta penyelarasan dengan perunding dan pakar teknikal yang dilantik Kementerian Kerja Raya, sekali gus menambah proses yang perlu diselesaikan sebelum kerja dapat diteruskan.

 

“Situasi ini juga meningkatkan kos projek dan memerlukan penilaian teknikal serta kelulusan kewangan daripada Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Kewangan.

 

“Proses kelulusan yang mengambil masa panjang boleh menjejaskan pelaksanaan projek, khususnya apabila perubahan kerja memerlukan pelarasan kos dan had kewangan yang diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kos Fasa 1 Lebuhraya Pan Borneo Sabah meningkat RM1.05 bilion selepas 10 tahun gagal disiapkan - Laporan Ketua Audit Negara

 

Sehubungan itu, beliau menggesa kedua-dua kementerian berkenaan mewujudkan mekanisme kelulusan yang lebih jelas dan pantas, terutama bagi arahan perubahan kontrak (variation order - VO) serta pelarasan had kewangan.

 

Beliau turut mencadangkan supaya prosedur berkaitan dimasukkan dalam kontrak asal atau dimuktamadkan melalui perjanjian tambahan bagi memperjelas proses membuat keputusan dan tanggungjawab setiap pihak.

 

Audit dedah kelemahan pengurusan projek

Baru-baru ini, Laporan Ketua Audit Negara 2026 mengenal pasti 13 penemuan utama berkaitan kelemahan pengurusan Fasa 1 projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah.

 

Daripada 35 pakej kerja di bawah Fasa 1, hanya empat pakej telah siap manakala 31 lagi masih dalam pelaksanaan setakat 25 Ogos 2026.

 

Angka itu menunjukkan sebahagian besar pakej kerja Fasa 1 masih belum disiapkan pada tarikh berkenaan, sekali gus menuntut perhatian terhadap pengurusan dan penyelarasan pelaksanaan projek.

 

Salleh menegaskan bahawa penyelesaian kelewatan memerlukan kerjasama semua pihak yang terlibat, bukannya tindakan saling menyalahkan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

 

“Rakyat Sabah tidak memerlukan tindakan saling menyalahkan. Mereka mahu melihat lebuh raya ini disiapkan,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved