
PENGENDALI Selangor FC, Kim Pan-gon memberi bayangan kecederaan yang dialami Faisal Halim ketika bersama Harimau Malaya pada Piala ASEAN FIFA agak serius dan memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya.
Pan-gon mengakui situasi berkenaan bukan sesuatu yang baik, malah menegaskan, pemain yang mesra dengan panggilan Mickey itu perlu diberikan tempoh rehat secukupnya sebelum kembali ke padang.
“Saya rasa ini bukan situasi yang baik. Kita perlu memberikan lebih banyak masa kepadanya.
“Secara jujur, saya berasa sedih tetapi perkara seperti ini boleh berlaku ketika menjalankan tugas bersama pasukan kebangsaan dan malangnya dia yang mengalami kecederaan.
“Saya berharap dia dapat kembali pulih secepat mungkin, namun saya fikir dia memerlukan masa,” katanya.
Bagaimanapun, Pan-gon enggan mendedahkan secara terperinci mengenai jenis kecederaan yang dialami Faisal, sebaliknya menjelaskan bahawa pemain itu perlu melalui proses pemulihan dengan berhati-hati.
Pengendali dari Korea Selatan itu turut memaklumkan bahawa pasukan perubatan sedang berusaha sebaik mungkin, namun tempoh pemulihan tidak boleh dipercepatkan kerana enggan risiko kecederaan kembali berulang.
“Kami tidak dapat memberikan butiran lanjut mengenai kecederaannya. Dia memerlukan masa dan kami tidak mahu keadaan jadi lebih buruk. Pasukan perubatan sedang melakukan yang terbaik bagi membantunya pulih,” ujar Pan-gon.
The post Pan-gon sedih Faisal Halim rehat panjang appeared first on Kosmo Online.






