
KINABATANGAN: Usaha mengurangkan konflik manusia-gajah di Kinabatangan kini memberi tumpuan kepada rumput sebagai sumber makanan alternatif, dengan usaha penanaman dan pengurusan kawasan padang rumput akan dilaksanakan oleh Borneo Rhino Alliance (Bora) bersama Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL).
Inisiatif itu menyasarkan pembangunan sehingga 500 hektar kawasan padang rumput terurus untuk menyediakan sumber makanan alternatif kepada kumpulan gajah di daerah ini.
Pengarah JHL, Mohd Soffian Abu Bakar berkata, rumput dan palma merupakan komponen utama dalam diet gajah.
“Gajah Malaysia kini menghabiskan lebih separuh masa mereka di ladang kelapa sawit dan kampung, di mana terdapat lebih banyak makanan untuk mereka berbanding di hutan,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Soffian menambah, JHL telah bersetuju dan membenarkan penanaman rumput di dalam kawasan perlindungan, manakala Bora akan menjalankan kerja penanaman dan penyelenggaraan di kawasan yang dikenal pasti.
Tambahnya, penggunaan kawasan padang rumput itu oleh gajah dan hidupan liar lain akan dipantau secara bersama menggunakan kaedah sedia ada termasuk perangkap kamera.
Ketua Pegawai Eksekutif Bora, Datuk Dr John Payne berkata, kira-kira 150 ekor gajah di Kinabatangan dianggarkan memerlukan sehingga 10 tan rumput atau kelapa sawit sebagai makanan setiap hari.
Katanya, penyediaan kawasan padang rumput yang luas dan diurus dengan baik boleh membantu mengurangkan keperluan gajah memasuki ladang kelapa sawit, kebun kecil dan kampung untuk mencari makanan.
“Sekurang-kurangnya 90 peratus kemasukan gajah ke ladang kelapa sawit dan kawasan penempatan manusia adalah disebabkan kekurangan sumber makanan semula jadi yang sesuai,” katanya.
Payne berkata, pakar gajah telah mengetahui sejak 1970-an bahawa diet semula jadi gajah Malaysia terdiri daripada kira-kira 70 peratus rumput dan palma, manakala baki 30 peratus adalah tumbuhan berkayu.
“Gajah di Kinabatangan dan Lahad Datu kini memperoleh sebahagian besar makanan ini dengan memakan kelapa sawit,” katanyaUlas beliau, rumput mempunyai kelebihan berbanding kelapa sawit kerana ia boleh tumbuh semula selepas dimakan, manakala pokok kelapa sawit akhirnya akan mati selepas bahagian yang digemari gajah dimakan berulang kali.
“Matlamatnya adalah untuk mengalihkan gajah daripada kelapa sawit kembali kepada rumput, yang merupakan makanan semula jadi mereka,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata pendekatan itu merupakan strategi jangka panjang dan memerlukan sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum gajah dijangka membentuk kecenderungan lebih kuat terhadap rumput berbanding kelapa sawit.
Pendekatan itu melibatkan pembangunan kawasan “padang makanan” (food pasture) dan “koridor makanan” (food corridor) di lokasi yang sesuai bagi menyediakan sumber makanan lebih konsisten serta menggalakkan gajah menggunakan kawasan pemakanan yang ditetapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Perpaduan Datuk Mohd Ugi, Azman Amirbek, menyokong penuh usaha berkenaan kerana ia berpotensi membantu mengurangkan konflik manusia-gajah di Kinabatangan.
“Saya menyokong usaha yang telah dilaksanakan oleh Respect dan jika JHL dan Bora melaksanakan usaha ini, itu adalah yang terbaik.
“Mesti ada usaha dilakukan kerana jika tidak, isu gajah masuk ke kawasan perumahan dan ladang tidak akan pernah habis,” katanya.
Azman berkata, walaupun pendekatan itu mungkin tidak dapat menyelesaikan konflik berkenaan sepenuhnya, ia sekurang-kurangnya dapat membantu mengurangkan masalah tersebut selain menyediakan sumber makanan kepada gajah Borneo di Kinabatangan.
Usaha itu turut mengambil kira pengalaman Respect yang memulakan penanaman Elephant Food Pasture pada 2024 sebagai antara usaha awal menyediakan sumber makanan alternatif untuk gajah di Kinabatangan.
Pengerusi Respect, Alexander Yee berkata, sebanyak 387 rekod penampakan gajah direkodkan di kawasan Elephant Food Pasture dan Elephant Food Corridor sejak inisiatif berkenaan dimulakan.
Katanya, rekod itu merangkumi 38 penampakan gajah dalam tiga kunjungan pada 2024, 68 gajah dalam 13 kunjungan pada 2025 dan 281 gajah dalam 22 kunjungan antara Januari hingga 5 Oktober 2026.
Kunjungan pertama direkodkan pada 23 Julai 2024 apabila 13 ekor gajah Borneo tiba untuk memakan rumput Napier yang baru ditanam.
Yee berkata, gajah terus aktif memakan rumput yang ditanam, manakala pasukan Respect kekal komited menanam semula kawasan yang rosak bagi memastikan padang rumput dan koridor berkenaan terus produktif.
Elephant Food Pasture menerima sokongan pembiayaan daripada Intrepid Travel Foundation, manakala pengembangannya menerusi Elephant Food Corridor pada 2025 dibiayai oleh Borneo Conservation Trust, Jepun.
Selain napier, Payne berkata rumput barau (Tripidium arundinaceum), iaitu spesies tempatan yang tumbuh secara semula jadi di Kinabatangan, turut berpotensi menjadi sumber makanan gajah.
Katanya, napier dan barau berpotensi menjadi spesies utama dalam pembangunan koridor makanan gajah, manakala gajah kurang tertarik kepada rumput parapa (Phragmites karka) kerana batangnya keras dan rapuh, menjadikannya sukar dikunyah dan dihadam.
Payne berkata, kawasan padang rumput boleh diwujudkan di pelbagai jenis tanah termasuk kawasan perlindungan hidupan liar, zon riparian, tanah bergeran dan Hutan Simpan, bergantung kepada kesesuaian serta kerjasama pihak berkaitan.
Katanya lagi, sasaran jangka panjang adalah membangunkan kira-kira 500 hektar padang rumput terurus yang mampu menghasilkan sekitar 3,500 tan rumput yang boleh dimakan setahun, dengan setiap kawasan berkeluasan antara satu hingga lima hektar.
Tambahnya, kejayaan inisiatif itu tidak boleh diukur berdasarkan pengurangan kemasukan gajah ke ladang dalam jangka pendek kerana perubahan ketara dalam konflik manusia-gajah hanya dijangka dapat dilihat selepas sekurang-kurangnya 10 tahun.
Sebaliknya, ukuran awal yang lebih sesuai ialah jumlah biojisim makanan yang boleh dimakan yang dihasilkan oleh kawasan padang rumput yang ditanam dan diurus. Beliau turut menekankan keperluan menambah baik sistem pagar elektrik kerana kebanyakan pagar sedia ada tidak mempunyai aliran elektrik secara konsisten.
“Gajah tidak lagi menganggap pagar elektrik sebagai sesuatu yang perlu dipandang serius. Satu visi baharu diperlukan, di mana pagar elektrik tidak lagi dibina hanya di sepanjang sempadan tanah bergeran, tetapi di lokasi yang kita mahu wujudkan sempadan antara manusia dan gajah,” katanya.
Payne mencadangkan satu pasukan sepenuh masa diwujudkan bagi memastikan semua pagar sentiasa berfungsi, bukannya sekadar menghalang gajah daripada memasuki ladang atau kampung tertentu.
Selain turut menekankan kepentingan latihan SOP hidupan liar secara berkala untuk kakitangan resort, pemandu pelancong, pekerja ladang dan komuniti kampung supaya mereka mengetahui tindakan selamat apabila berdepan dengan gajah.
Beliau memberi amaran bahawa mengejar gajah, membaling mercun atau cuba menakutkan haiwan berkenaan boleh menyebabkan gajah lebih terganggu dan meningkatkan risiko konflik.
Katanya, kerjasama antara JHL, organisasi pemuliharaan seperti Respect, pengusaha pelancongan, syarikat perladangan dan komuniti tempatan amat penting dalam menyediakan sumber makanan alternatif yang mampan.
Payne berkata, antara cabaran utama ialah sikap tidak peduli atau tentangan daripada sesetengah pihak yang berpotensi menjadi rakan kerjasama, selain kemarau akibat El Niño yang boleh membantutkan atau menghentikan pertumbuhan rumput sekiranya kawasan berkenaan tidak diairi secukupnya.
Beliau berharap lebih banyak organisasi akan menyokong pembangunan dan pengurusan kawasan padang rumput dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang bagi menyediakan sumber makanan yang lebih luas dan mampan untuk gajah di Kinabatangan.






