Keluar Dewan: Pembangkang Tak Peduli Amanah Pendeposit Tabung Haji?

LocalPolitics
11 Aug 2026 • 2:22 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Keluar Dewan: Pembangkang Tak Peduli Amanah Pendeposit Tabung Haji?

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Tindakan Ahli Parlimen pembangkang bertindak walkout atau keluar dari Dewan Rakyat, disifatkan lebih kepada strategi bantahan politik berbanding perjuangan hakiki terhadap isu Lembaga Tabung Haji (TH).

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata tindakan meninggalkan gelanggang perbahasan dalam isu sebesar TH, berisiko mencipta naratif bahawa pembangkang tidak peduli akan amanah serta kepentingan pendeposit TH.

“Saya melihat walkout itu lebih kepada strategi bantahan politik terhadap ketidakhadiran Perdana Menteri, bukan semata-mata isu TH, tetapi persoalannya ialah sama ada walkout merupakan strategi yang paling tepat. Pada saya, tidak semestinya.

“Kalau alasan utama ialah Perdana Menteri tidak hadir, pembangkang sebenarnya masih mempunyai ruang yang lebih berkesan untuk kekal di Dewan, membahaskan RCI, mengemukakan soalan kritikal dan merekodkan pendirian mereka,” katanya kepada Bernama hari ini.

Malahan, beliau berkata tindakan sebahagian pembangkang memilih untuk kekal, menunjukkan terdapat perbezaan penilaian dalam blok pembangkang sendiri mengenai keberkesanan keluar dewan.

Baca juga:



Sivamurugan berkata tindakan melangkah keluar dari persidangan hanya memberi kelebihan dari segi publisiti, berbanding perbahasan mampat yang mampu merekodkan hujah rasmi demi kepentingan rakyat.

Namun, beliau berkata tindakan sedemikian boleh membina naratif bahawa pembangkang lebih berminat melakukan protes daripada menggunakan Parlimen, untuk memperjuangkan kepentingan pendeposit.

“Pada masa yang sama, kerajaan juga perlu memahami bahawa ketidakhadiran Perdana Menteri dalam perbahasan yang sangat sensitif ini, memang mempunyai nilai simbolik kepada pembangkang.

“Jadi, jangan hanya melihat walkout sebagai tindakan tidak bertanggungjawab. Ia isyarat politik. Namun, isyarat itu akan lebih kuat jika disusuli dengan hujah, angka dan cadangan konkrit,” katanya.

Sivamurugan berkata fungsi Parlimen sebagai gelanggang semak dan imbang, memerlukan rekod hujah yang berterusan berbanding tindakan simbolik semata-mata.

“Kesimpulannya, walkout mungkin memberi publisiti tetapi perbahasan memberi rekod. Dalam politik semak dan imbang, rekod hujah lebih bernilai daripada simbol meninggalkan Dewan.

Walkout boleh menjadi simbol bantahan, tetapi Parlimen gelanggang untuk membuktikan hujah. Kalau keluar kerana PM tidak hadir, mereka mungkin menang dari segi simbolik, tetapi berisiko kalah dari segi naratif kerana meninggalkan ruang terbaik untuk membahaskan isu TH,” katanya.

Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin, merupakan antara yang keluar Dewan Rakyat hari ini dan tidak akan mengambil bahagian dalam perbahasan RCI berkaitan TH.

Turut meninggalkan dewan ialah Ketua Whip PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Pengerusi PN Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar.

Terdahulu, Takiyuddin mengemukakan cadangan supaya mesyuarat khas itu ditangguhkan, susulan ketidakhadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, yang masing-masing sedang dirawat akibat masalah kesihatan.

Mesyuarat Khas Dewan Rakyat membuka ruang kepada Ahli Parlimen untuk meneliti laporan RCI TH yang telah didedahkan kepada umum pada 29 Julai lepas, setelah kerajaan memutuskan bahawa laporan itu perlu diketahui rakyat.

-- BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved