
PETALING JAYA – Kesesakan pengunjung yang meninggalkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas acara perlumbaan hari ini dilihat berlarutan sehingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) apabila orang ramai terpaksa beratur panjang untuk menaiki Express Rail Link (ERL).
Rakaman yang dikongsikan di media sosial memaparkan barisan penumpang memenuhi ruang di tingkat dua KLIA2, dipercayai terdiri daripada sebahagian pengunjung yang mahu meneruskan perjalanan pulang selepas meninggalkan SIC.
Seorang pengguna Threads, @ishvinderjitsingh mendakwa dia bertolak dari SIC kira-kira pukul 7 malam sebelum hanya tiba di KLIA2 pada pukul 9.30 malam.
“Pukul 7 malam di SIC, pukul 9.30 malam baru tiba di KLIA Terminal 2 dan sekarang kena tunggu ERL.
“Selepas lebih tiga jam, saya masih lagi berada di sekitar KLIA dan Sepang. Ya Tuhan, permudahkanlah,” katanya.
Dalam ruangan komen, pengguna berkenaan turut mendakwa tambang perkhidmatan e-hailing ketika itu mencecah lebih RM90, menyebabkan dia memilih untuk terus menunggu pengangkutan awam.
Seorang pengguna lain pula mempersoalkan kekerapan perkhidmatan ERL yang didakwanya hanya beroperasi setiap 20 minit ketika jumlah penumpang sedang tinggi.
Situasi sama turut dikongsikan pengguna Threads, @userww4687 yang mendakwa perjalanan pulang menjadi lebih sukar apabila kesesakan bukan sahaja berlaku di SIC, malah berterusan di KLIA2.
“Dari siang sampai malam, itu yang menjadi masalahnya. Akhirnya hendak balik, naik Grab pun sampai RM150 dari KLIA2 kerana ERL pula sesak.
“Pengurusan orang ramai sepatutnya dibuat lebih awal dan perlu ada laluan khas sama ada untuk orang awam atau bas ulang-alik,” katanya.
Terdahulu, media sosial dibanjiri perkongsian pengunjung mengenai kesesakan luar biasa ketika meninggalkan SIC dengan sebahagian mendakwa terpaksa menunggu berjam-jam untuk menaiki bas ulang-alik menuju ke kawasan parkir dan hab pengangkutan berhampiran.
Keadaan tersebut turut mencetuskan gesaan supaya pengurusan aliran trafik, kapasiti bas ulang-alik serta penyelarasan pengangkutan awam dipertingkatkan bagi menghadapi jumlah pengunjung yang besar sepanjang acara berlangsung. – KOSMO! ONLINE
The post Keluar SIC tiga jam, sambung pula beratur panjang tunggu ERL di KLIA2 appeared first on Kosmo Online.

![[VIDEO] 4 jam bersesak tunggu bas belum jumpa jalan pulang](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-02-at-10.29.23-PM-1024x766.jpeg)
![[VIDEO] Dugaan betul berbaris panjang naik bas balik F1](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/1294b75d-7e05-46f6-95e5-58db1a5efb2a-1024x766.jpeg)



