[VIDEO] 4 jam bersesak tunggu bas belum jumpa jalan pulang

2 Oct 2026 • 10:38 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: [VIDEO] 4 jam bersesak tunggu bas belum jumpa jalan pulang

PETALING JAYA – Kegembiraan menyaksikan aksi Formula Satu (F1) bertukar menjadi pengalaman memenatkan buat sebahagian pengunjung apabila mendakwa terpaksa menunggu sehingga empat jam untuk menaiki bas selepas selesai acara di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Keadaan itu dikongsikan seorang pengguna Threads, @dan_anyeal yang memuat naik beberapa rakaman memperlihatkan orang ramai berhimpit dan beratur panjang di kawasan menunggu bas ketika hujan.

Menurutnya, dia mula beratur kira-kira pukul 5 petang, namun hanya berjaya menaiki bas pada pukul 9 malam.

“Ini cara anda menguruskan pengangkutan untuk lebih 100,000 peminat F1 yang sudah lama menantikan saat ini?

“Mula beratur pukul 5 petang, pukul 9 malam baru dapat naik bas. Empat jam,” katanya menerusi hantaran tersebut.

Dia turut meluahkan rasa kecewa dengan pengurusan pengangkutan pada hari pertama acara berkenaan selain bimbang keadaan lebih sesak pada hujung minggu sekiranya tiada penambahbaikan dilakukan.

“Memang kecewa dengan pengurusan pengangkutan hari ini. Kalau perkara ini tidak diperbaiki, Sabtu dan Ahad memang boleh jadi lebih kelam-kabut.

“Tolong lakukan sesuatu sebelum keadaan menjadi lebih buruk. Kami datang ke sini untuk F1, bukan untuk menghabiskan separuh petang menunggu bas,” katanya.

Berdasarkan rakaman yang dikongsikan, sejumlah besar pengunjung dilihat menunggu di sekitar kawasan hentian dengan ada yang menggunakan payung sementara menanti giliran menaiki bas.

Satu lagi rakaman pada waktu siang turut memperlihatkan kawasan lapang dipenuhi pengunjung, dengan sebahagiannya duduk di atas rumput sementara menunggu pergerakan keluar dari kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, @aminagussalim mendakwa keadaan turut menjadi sukar apabila sebahagian pengunjung tidak mengikut sistem barisan meskipun petugas telah cuba mengawal keadaan.

“Tiada siapa mahu beratur. Saya nampak petugas meminta orang ramai dengan baik supaya beratur. Tetapi semua orang terus melanggar barisan tadi,” katanya.

Seorang lagi pengguna, @nabillaeiman turut membandingkan keadaan tersebut dengan pengurusan orang ramai ketika menghadiri acara di Litar Silverstone, United Kingdom tahun lalu.

“Ini keadaan orang ramai di Silverstone tahun lalu ketika menunggu bas ulang-alik. Memang sangat ramai, tetapi pengurusan orang ramai teratur,” katanya.

Terdahulu, Formula Satu (F1) kembali berlangsung di SIC selepas kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah perlumbaan itu pada 2017.

SIC menjadi gelanggang Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad selepas perlumbaan berkenaan dipindahkan dari Bahrain susulan situasi keselamatan di Asia Barat. – KOSMO! ONLINE

 

View on Threads

 

The post [VIDEO] 4 jam bersesak tunggu bas belum jumpa jalan pulang appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved