
SERDANG: Atlet pejalan kaki Pulau Pinang, Mohammad Aiman Haikal Sahrudin tekad memburu pingat emas berganda pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 selepas mencipta kejutan dengan memenangi acara 10,000 meter (m) di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
Pelari berusia 18 tahun itu tampil cemerlang apabila mencatat masa 47 minit 28.840 saat (s) untuk meraih pingat emas, sekali gus menewaskan dua pelari pilihan yang terpaksa berpuas hati dengan perak dan gangsa.
Pingat perak menjadi milik wakil Kelantan, Ahmad Farish Irfan Ahmad Fahmi yang merekodkan 47:37.170s manakala wakil Wilayah Persekutuan, Khor Jing Hong meraih gangsa dengan catatan 47:49.270s.
Aiman berkata, tumpuannya kini terarah kepada acara 20,000m yang dijadual berlangsung Khamis ini dengan misi utama memburu slot ke Sukan SEA 2027.
“Pada hari ini (semalam) bukan mudah untuk saya dapatkan emas sebab ada dua tiga pencabar yang turut mempunyai misi yang sama untuk mendapatkan kelayakan ke Sukan SEA. Saya kena memberikan saingan sengit dan saya percaya pada diri sendiri.
“Catatan kelayakan itu perlu dibuat dalam kejohanan rasmi seperti SUKMA atau kejohanan-kejohanan besar yang lain,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Aiman berkata, dia perlu melakukan catatan masa bawah 1 jam 38 minit bagi mencerahkan peluangnya untuk mewakili negara ke Sukan SEA 2027 dalam acara 20,000m.
Mengulas kejayaan meraih emas, Aiman menyifatkan kemenangan itu bukan untuk dirinya semata-mata, sebaliknya hadiah buat ibu bapa, jurulatih dan rakan-rakannya di Pulau Pinang.
“Pingat emas ini bukan untuk saya, tetapi untuk mak ayah saya, jurulatih dan kawan-kawan saya di Pulau Pinang,” katanya. – UTUSAN
The post Aiman Haikal tekad buru pingat berganda, sasar tiket Sukan SEA 2027 appeared first on Utusan Malaysia.






