Keluarga mangsa banjir Nepal gesa wujud saluran komunikasi khas

29 Aug 2026 • 5:57 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Keluarga mangsa banjir Nepal gesa wujud saluran komunikasi khas

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mewujudkan saluran komunikasi khas bagi memastikan perkembangan terkini membabitkan rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi susulan tragedi banjir dan tanah runtuh di Nepal disampaikan secara terus, konsisten dan telus kepada keluarga.

Wakil keluarga rakyat Malaysia, Dr. R. Manivannan berkata, tragedi berkenaan sudah memasuki tempoh 72 jam, namun keluarga yang menunggu berita mengenai insan tersayang masih berdepan ketidakpastian dan tekanan emosi.

Katanya, setiap jam yang berlalu tanpa maklumat yang boleh dipercayai meningkatkan kebimbangan serta penderitaan keluarga yang terjejas.

“Kami memahami bencana ini mewujudkan keadaan yang amat mencabar kepada pihak berkuasa dan agensi penyelamat.

“Namun, dalam krisis sebesar ini, komunikasi yang tepat pada masanya, konsisten dan telus juga amat penting,” katanya pada sidang akhbar.

Manivannan berkata, berdasarkan rekod Malaysia-Singapore Family Interest Group (MASFIH), rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang terdiri daripada tiga kumpulan pelancongan.

Katanya, kumpulan berkenaan membabitkan 23 rakyat Malaysia bersama tiga rakyat Singapura daripada Leaf Holiday, diikuti sembilan rakyat Malaysia daripada Dream Tibet Travel & Tours serta 17 rakyat Malaysia daripada Fishtail Tours & Travels.

“Lokasi terakhir yang diketahui bagi kumpulan terbabit adalah di kawasan sempadan Rasuwagadhi, Nepal-Tibet, termasuk kedua-dua bahagian sempadan, iaitu Nepal dan Tibet, China,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu memerlukan kerjasama operasi yang rapat antara Nepal, China dan Malaysia bagi memperluaskan usaha pencarian.

“Dengan mengambil kira jumlah rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikenal pasti keberadaannya, kami percaya setiap sumber mencari dan menyelamat yang tersedia kini perlu dipertimbangkan dan digerakkan,” katanya.

Beliau berkata, maklumat rasmi juga perlu diberikan secara berkala bagi membantu keluarga memahami perkembangan operasi mencari dan menyelamat (SAR), selain mengelakkan penyebaran maklumat tidak tepat.

Sehubungan itu, Manivannan menggesa Wisma Putra, Kedutaan Malaysia di Kathmandu, Nepal dan Kedutaan Malaysia di Beijing, China menyediakan kemas kini rasmi kepada keluarga setiap hari.

Katanya, kemas kini itu perlu merangkumi status rakyat Malaysia yang masih hilang, kawasan pencarian, perkembangan daripada pihak berkuasa Nepal dan China serta jumlah individu yang ditemui, diselamatkan atau dikenal pasti keberadaan mereka.

“Walaupun kemas kini yang diberikan hanya menyatakan tiada maklumat baharu yang telah disahkan, perkara itu tetap dapat memberikan ketenangan kepada keluarga bahawa perkara ini sedang dipantau dan diusahakan secara aktif,” katanya.

Dalam pada itu, MASFIH turut menggesa supaya seorang pegawai perhubungan khas dilantik bagi berkomunikasi secara langsung dengan tiga wakil pertubuhan berkenaan.

Manivannan berkata, langkah itu penting kerana kira-kira 90 peratus rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang diwakili MASFIH.

“Satu saluran komunikasi berpusat akan membolehkan maklumat rasmi disampaikan dengan cepat dan konsisten kepada semua keluarga yang terjejas.

“Perkara ini juga berupaya mengurangkan beban anggota keluarga yang terpaksa berulang kali menghubungi agensi berbeza untuk mendapatkan maklumat,” katanya.

Tambahnya, pihaknya menerima maklum balas daripada beberapa anggota keluarga yang mengalami kesukaran menghubungi atau mendapatkan maklum balas daripada Kedutaan Malaysia di Kathmandu sejak dua hari lalu.

Bagaimanapun, katanya, permintaan itu bukan bertujuan menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya memastikan struktur komunikasi yang lebih berkesan dapat diwujudkan bagi menghadapi krisis kemanusiaan berkenaan.

“Keluarga bukan mencari konfrontasi, sebaliknya kami mencari jawapan, penyelarasan dan tindakan.

“Di sebalik setiap nama dalam senarai orang hilang, terdapat sebuah keluarga yang sedang menunggu seseorang pulang ke rumah,” ujarnya.

MASFIH turut memohon kerajaan mendapatkan maklumat secara langsung daripada pihak berkuasa China berhubung keadaan di sebelah Tibet, termasuk status operasi SAR, mangsa yang terselamat, korban serta kemungkinan rakyat Malaysia ditemui di kawasan berkenaan.

Menurut MASFIH, keluarga ketika ini menerima lebih banyak maklumat mengenai perkembangan di sebelah Nepal, manakala maklumat secara langsung dari sebelah Tibet atau China masih terhad.

“Kita MASFIH bersedia bekerjasama dengan Wisma Putra, kedutaan Malaysia, pihak berkuasa Nepal dan China serta agensi SAR berkaitan bagi memudah cara perkongsian dan pengesahan maklumat,” katanya. – UTUSAN

The post Keluarga mangsa banjir Nepal gesa wujud saluran komunikasi khas appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved