
KUALA LUMPUR – Pemandu lori imigresen yang terlibat dalam kemalangan menyebabkan tiga beranak maut di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail semalam didakwa atas lima pertuduhan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ).
Bagaimanapun, tertuduh, Mohd. Akbar Zainol, 43, mengaku tidak bersalah selepas kelima-lima pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, Aliaa Anwar di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 bagi kelima-lima pertuduhan dan menetapkan 27 Oktober ini bagi sebutan semula kes.
Terdahulu Kosmo! melaporkan tiga sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun maut selepas dilanggar sebuah lori JIM dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, lori Isuzu Black Maria milik JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terbabit dalam perlanggaran dengan sebuah Proton Saga sebelum terbabas dan merempuh empat pejalan kaki serta sebuah kereta lain.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, siasatan awal mendapati lori berkenaan dipandu seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun tanpa membawa penumpang ketika kejadian. – KOSMO! ONLINE
The post Pemandu lori imigresen nafi lima pertuduhan, dibenar ikat jamin RM60,000 appeared first on Kosmo Digital.






