
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam tular rakaman dashcam memaparkan kemalangan maut membabitkan Proton X50 yang bertembung dengan lori membawa muatan tanah di Kampung Baru Pinang Tunggal di Sungai Petani, Kedah.
Kemalangan tersebut turut meragut nyawa enam sekeluarga manakala seorang kanak-kanak berusia tiga tahun cedera parah.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Kereta Baru Keluar Kedai, 6 Sekeluarga Maut Selepas Proton X50 Bertembung Lori
Mahkamah Majistret tolak permohonan reman pemandu lori yang terlibat kemlangan dengan Proton X50
Terbaharu Mahkamah Majistret Sungai Petani telah menolak permohonan reman ke atas pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan terbabit.
Majistret Mohamad Azlan Basri menolak permohonan ke atas pemandu lori berusia 49 tahun yang ditahan selepas insiden berlaku, lapor Sinar Harian.
Siasatan insiden tersebut dilakukan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pemandu negatif dadah dan lori dipandu dengan kelajuan 60KM/H
Sebelum ini Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah menjelaskan hasil saringan air kencing yang dilakukan ke atas pemandu lelaki berkenaan adalah negatif dadah.
Pemandu lori ada 7 saman termasuk 4 belum diselesaikan
Akan tetapi menerusi semakan yang dilakukan pemandu lori itu turut mempunyai sebanyak tujuh saman dan empat masih lagi belum diselesaikan.
“Namun begitu, dia mempunyai lesen memandu yang sah dan kelajuan lori semasa kejadian hanyalah 60 kilometer sejam,” ujarnya.
Kata Adzli lagi, polis kini sedang melakukan siasatan terhadap semua aspek untuk mengenal pasti apakah punca sebenar insiden sehingga ia mengorbankan enam sekeluarga tersebut.
MOT tunggu siasatan penuh selesai, tidak mahu buat spekulasi
Sementara itu, Kementerian Pengangkutan (MOT) turut memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan berhubung insiden tersebut.
Kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah MOT masih menunggu laporan penuh selain tidak mahu membuat sebarang spekulasi awal berhubung punca insiden termasuklah status Proton X50 baharu yang dinaiki oleh keluarga tersebut.
“Kita masih menunggu siasatan, saya tidak boleh komen dahulu. Saya tidak mahu membuat kesimpulan awal.
“Saya tidak boleh mengatakan lebih daripada itu,” ulasnya, lapor Berita Harian.






