
PETALING JAYA – Trafik di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara sesak kira-kira 7.9 kilometer (km) susulan kemalangan membabitkan beberapa kenderaan di Kilometer 129, antara Yong Peng Utara dan Pagoh, tengah hari ini.
Menurut maklumat trafik Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), kejadian yang dilaporkan kira-kira pukul 12.06 tengah hari itu menyebabkan semua lorong di lokasi kemalangan terhalang.
Kemalangan tersebut difahamkan melibatkan empat buah kenderaan termasuk dua lori dan dua kereta.
Gambar yang tular di media sosial menunjukkan sebuah kereta mengalami kerosakan teruk di bahagian belakang, manakala sebuah lagi kenderaan dilihat terbalik di atas lebuh raya.
Turut kelihatan sebuah lori mengalami kerosakan di bahagian hadapan, sementara serpihan kenderaan bertaburan di atas jalan.
Susulan kejadian itu, laluan kontra akan diaktifkan bagi melancarkan pergerakan trafik, manakala pengguna lebuh raya diarahkan keluar menerusi Persimpangan Yong Peng.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan menangguhkan perjalanan buat sementara waktu atau menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan,” ujar LLM.
Setakat ini, keadaan mangsa yang terlibat dalam kemalangan tersebut masih belum dapat dipastikan. – KOSMO! ONLINE
The post Kemalangan arah Yong Peng sebabkan semua lorong terhalang, sesak 7.9km appeared first on Kosmo Digital.






