
TEMERLOH: Dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Chenor, dekat sini maut dalam kemalangan melibatkan tiga buat kenderaan di Kilometer 119 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, di sini malam tadi.
Kemalangan Dalam kira-kira pukul 8.20 malam itu membabitkan sebuah motosikal, kereta dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).
Mangsa, Muhammad Nazim Dzafran Mohd. Faizul, 17, berasal dari Taman Indera Sempurna, Kuantan dan pemboncengnya, Muhammad Hafizuddin Abdullah, 17, dari Taman Jaya Diri, Chenor disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Nasyim Bahron berkata, siasatan awal mendapati motosikal Yamaha LC135 ditunggang dua pelajar itu dalam perjalanan dari Temerloh menghala ke Chenor.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal itu dipercayai cuba memotong sebuah Toyota Vios di hadapannya sebelum melanggar bahagian belakang sebelah kanan kenderaan tersebut.
“Pelanggaran itu mengakibatkan kedua-dua mangsa tercampak ke laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah Perodua Alza yang datang dari arah Temerloh kerana pemandunya tidak sempat mengelak,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Nasyim berkata, kedua-dua remaja itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Toyota Vios berusia 34 tahun dan pemandu Perodua Alza berusia 43 tahun tidak cedera.
Katanya, kemalangan dipercayai berpunca daripada penunggang motosikal yang gagal mengawal kenderaannya ketika cuba memotong sebuah kenderaan di hadapan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, jurucakap SMKA Chenor, berkata, pemergian kedua-dua pelajar tersebut merupakan kehilangan besar buat warga sekolah kerana mereka dikenali sebagai pelajar yang berdisiplin, mudah didekati serta aktif dalam pelbagai program sekolah.
Beliau berkata, Muhammad Nazim Dzafran dan Muhammad Hafizuddin adalah pelajar tingkatan lima yang belajar dalam kelas yang sama serta bersahabat baik sejak memasuki sekolah berkenaan.
“Hubungan mereka sangat akrab. Ke mana sahaja mereka sering bersama, sama ada ketika di dalam kelas, aktiviti kokurikulum atau program keagamaan sekolah,” katanya. – UTUSAN
The post Dua pelajar SMKA Chenor maut kemalangan tiga kenderaan appeared first on Utusan Malaysia.






