
JOHOR BAHRU – Seorang pengendali sebuah bot penumpang yang terlibat dalam kemalangan dua bot sehingga meragut dua nyawa berhampiran Jeti Kastam Mersing, Mersing Kechil, Mersing, kelmarin direman empat hari bagi membantu siasatan.
Suspek lelaki warga tempatan berusia 33 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arshad berkata, semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan narkotik.
“Bagaimanapun, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas suspek didapati negatif daripada sebarang jenis dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Tinggi untuk permohonan tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Mahkamah membenarkan suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga 5 September ini bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan cuai dan Seksyen 280 Kanun Keseksaan kerana menjalankan perahuan dengan gopoh.
Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 304A, suspek boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, manakala Seksyen 280 memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Kosmo! semalam melaporkan, dalam kejadian kira-kira pukul 9.04 malam kelmarin, dua bot penumpang berlanggar berhampiran Jeti Kastam Mersing sehingga menyebabkan dua daripada enam mangsa maut.
Mangsa yang maut terdiri daripada pemandu bot, Mohamad Sohaizi Mohd Sanin, 38, dan seorang pelancong, Lee Wee Chung, 32.-KOSMO! ONLINE
The post Kemalangan bot: Pengendali direman empat hari appeared first on Kosmo Digital.






