
MERSING: Seorang pengendali bot ditahan polis bagi membantu siasatan melibatkan kemalangan dua buah bot yang mengakibatkan dua lelaki termasuk seorang pelancong maut di Kuala Sungai Mersing, kelmarin.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, suspek berusia 33 tahun itu ditahan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing pada pukul 12 tengah hari, semalam.
Menurut beliau, semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau melibatkan kesalahan narkotik, namun ujian urin yang dijalankan negatif daripada penyalahgunaan dadah.
“Suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 304A dan Seksyen 280 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sah selain memberi ruang pihak berkuasa menyiasat mengikut undang-undang.
Kelmarin, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Mersing, Pegawai Bomba Kanan I, Mohamed Zainuddin Ahmad dilaporkan berkata, dua lelaki maut selepas bot dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bot lain.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 9.04 malam.
“Setibanya anggota di lokasi, didapati telah berlaku kemalangan melibatkan enam mangsa dengan dua buah bot. Daripada jumlah itu, dua mangsa disahkan telah meninggal dunia, manakala empat yang lain cedera,” katanya.-UTUSAN
The post Pengendali bot ditahan bantu siasatan kemalangan maut di Kuala Sungai Mersing appeared first on Utusan Malaysia.






