Kemalangan maut: Malaysia rugi RM30b setahun

LocalBusiness & Finance
17 Aug 2026 • 3:31 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kemalangan maut: Malaysia rugi RM30b setahun

PETALING JAYA: Malaysia dianggarkan menanggung kerugian sosioekonomi akibat kemalangan maut di jalan raya mencecah RM30 bilion setahun.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, angka itu didedahkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Katanya, pembentangan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) itu menarik perhatiannya berhubung topik impak sosiaekonomi kemalangan jalan raya di Malaysia.

“Angka yang dilaporkan sangat besar. Pada 2025, (seramai) 6,537 nyawa terkorban dengan anggaran 18 orang setiap hari. Kerugian sosioekonomi pula dianggarkan mencecah RM30 bilion setahun,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

Alexander berkata, angka RM30 bilion itu dinilai berdasarkan nilai ekonomi bagi perubahan risiko kematian termasuk terhadap kehilangan produktiviti dan pendapatan, kos rawatan serta kesan kepada keluarga dan masyarakat.

Katanya, lebih membimbangkan, berdasarkan pembentangan itu, 80.6 peratus kemalangan berpunca daripada faktor manusia.

“Ini menunjukkan keselamatan jalan raya bukan tanggungjawab satu kementerian sahaja. Inilah yang saya seru setiap kali dalam ucapan saya. Ia memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan pendidikan, penguatkuasaan, teknologi dan infrastruktur yang lebih selamat.

“Namun di sebalik segala pengiraan ini, kehilangan nyata tetap tidak boleh dinilai dengan wang ringgit,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pendirian Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam isu tersebut jelas iaitu tidak mahu hanya memperbaiki jalan selepas kemalangan berlaku.

Katanya, KKR mahu membina dan menyelenggara jalan yang lebih selamat, mengurangkan risiko dan kesilapan manusia.

“Bagi saya, RM30 bilion bukan sekadar angka ekonomi. Ia menggambarkan besarnya kesan kemalangan jalan raya terhadap individu, keluarga dan masyarakat. Tetapi yang paling besar ialah kehilangan insan tersayang. Kita tidak boleh menganggap 18 kematian sehari sebagai perkara biasa.

“Setiap nyawa yang berjaya kita selamatkan adalah kemenangan untuk rakyat,” katanya. – UTUSAN 

The post Kemalangan maut: Malaysia rugi RM30b setahun appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved