Impak Sosioekonomi Akibat Kemalangan Jalan Raya Cecah RM30 Bilion Setahun - Nanta

LocalBusiness & Finance
17 Aug 2026 • 2:37 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Impak Sosioekonomi Akibat Kemalangan Jalan Raya Cecah RM30 Bilion Setahun - Nanta

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Negara menanggung kerugian sosioekonomi mencecah RM30 bilion setahun berpunca daripada kemalangan jalan raya, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata angka berkenaan dinilai berdasarkan nilai ekonomi bagi perubahan risiko akibat kematian, termasuk kehilangan produktiviti dan pendapatan, kos rawatan serta kesan kepada keluarga dan masyarakat.

“Namun, di sebalik segala pengiraan ini, kehilangan nyawa tetap tidak boleh dinilai dengan wang ringgit,” katanya menerusi hantaran X hari ini.

Nanta berkata dapatan mengenai impak sosioekonomi itu dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Baca juga:

Beliau berkata pada tahun lepas sahaja, 6,537 nyawa terkorban dengan anggaran 18 orang setiap hari dan lebih membimbangkan 80.6 peratus kemalangan dikaitkan dengan faktor manusia.

“Hal ini menunjukkan keselamatan jalan raya bukan tanggungjawab satu kementerian sahaja, sebaliknya memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan pendidikan, penguatkuasaan, teknologi dan infrastruktur yang lebih selamat.

“Dalam hal ini, pendirian Kementerian Kerja Raya (KKR) adalah jelas. Kita tidak mahu hanya membaiki jalan selepas kemalangan berlaku. Kita mahu membina dan menyelenggara jalan yang lebih selamat, mengurangkan risiko dan kesilapan manusia,” katanya.

Nanta berkata angka RM30 bilion berkenaan bukan sekadar angka ekonomi tetapi menggambarkan kesan besar tragedi jalan raya terhadap seluruh lapisan masyarakat.

“Paling besar ialah kehilangan insan tersayang. Kita tidak boleh menganggap 18 kematian sehari sebagai perkara biasa. Setiap nyawa yang berjaya kita selamatkan adalah kemenangan untuk rakyat,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved