Laluan tidak bergerak hendak turun dari Genting Highlands

17 Aug 2026 • 3:26 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Laluan tidak bergerak hendak turun dari Genting Highlands

PETALING JAYA – Pengguna jalan raya mendakwa mengambil masa sehingga dua jam untuk turun dari Genting Highlands susulan kesesakan teruk dipercayai berpunca daripada sekatan jalan raya polis, tengah hari tadi.

Situasi itu dikongsikan beberapa pengguna Threads yang memaklumkan kenderaan hampir tidak bergerak selain terdapat pemeriksaan polis di laluan menghala turun.

Seorang pengguna, @shaqiera_abhamid berkata, dia mula bergerak turun dari kawasan Genting Highlands kira-kira pukul 12 tengah hari sebelum hanya tiba di Genting Sempah sekitar pukul 2 petang.

“Saya sangkut ngam-ngam dua jam. Pukul 12 turun dari Antara, pukul 2 baru sampai Genting Sempah. Ada sekatan polis tapi tadi macam dah nak selesai,” katanya.

Seorang lagi pengguna, @xender_99 turut berkongsi gambar barisan panjang kenderaan dan mendakwa terperangkap hampir sejam ketika menjalankan penghantaran barangan.

“Sekatan besar-besaran dekat Genting, katanya ada kes rompakan besar. Tersekat dah sejam dekat sini,” katanya.

Sementara itu, pengguna @myraexe_ memaklumkan trafik berada dalam keadaan tidak bergerak sehingga kira-kira sejam ketika mahu turun dari Genting Highlands.

Seorang lagi pengguna, @salwabaharain pula mendakwa kesesakan berlaku teruk dengan kehadiran ramai anggota polis di beberapa lokasi.

“Jem teruk gila dekat Genting nak menghala turun. Tersekat tak bergerak langsung dari atas. Polis ramai merata-rata tempat. Tak tahu ada kes apa,” katanya.

Terdahulu, tular dakwaan di media sosial mengenai satu kejadian rompakan membabitkan sebuah kedai emas di Genting Highlands sehingga mencetuskan operasi polis dan sekatan jalan raya di laluan keluar dari kawasan peranginan berkenaan.

Beberapa pengguna media sosial turut mendakwa polis melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan termasuk bahagian bonet ketika melalui sekatan jalan raya.

Bagaimanapun, setakat ini belum terdapat pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung dakwaan rompakan berkenaan termasuk lokasi sebenar kejadian, jumlah kerugian atau sama ada kesesakan tersebut mempunyai kaitan secara langsung dengan insiden itu. – KOSMO! ONLINE

The post Laluan tidak bergerak hendak turun dari Genting Highlands appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved