Kemaskini Besar Windows 11 Seterusnya Ialah 25H2 – Dijangka Tiba Suku Keempat Tahun Ini

TechnologyDigital
30 Jun 2025 • 5:19 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Setiap tahun, Microsoft akan memperlihatkan kemaskini besar baharu pada sistem operasi Microsoft Windows mereka, secara lazimnya dinamakan dengan angka tahun tersebut dan disertakan bersama nama H2 untuk memperlihatkan bahawa ia diumumkan pada separuh kedua tahun tersebut, sebagai contoh Windows 11 24H2 pada tahun lepas.

image is not available

Terkini, Microsoft telah akhirnya mengesahkan bahawa kemaskini besar untuk sistem operasi Windows 11 mereka akan dinamakan 25H2, dan akan diperlihatkan sekitar suku ketiga ke suku keempat tahun ini, kira-kira pada bulan September ataupun Oktober 2025.

Walaupun kemaskini ini hanya akan diperkenalkan secara rasmi kepada pengguna-pengguna sistem operasi Windows 11 pada bulan-bulan tersebut, para pengguna Windows Insider Program sudahpun boleh mula mencuba ciri-ciri dan melihat perubahan baru pada sistem operasi tersebut melalui kemaskini Windows 11 Insider Preview Build 26120.4452.

image is not available

Microsoft turut mengesahkan bahawa kemaskini Windows 11 25H2 ini akan mengikut cara kemaskini tahun-tahun sebelum ini, dimana saiz fail kemaskini yang dimuat-turun adalah kecil dan dilakukan secara berperingkat. Kod sumber 25H2 adalah berdasarkan kod sumber sama seperti 24H2 pada tahun lepas, yang dikatakan akan membantu proses kemaskini ini.

Windows 11 25H2 dijangka akan hadir dengan sejumlah ciri-ciri baru, termasuklah kemaskini kepada Start Menu dan integrasi kecerdasan buatan CoPilot+ pada lebih banyak fungsi-fungsi pada sistem operasi tersebut.

Kemaskini Windows 11 25H2 ini juga dilihat menandakan tamatnya sokongan rasmi Microsoft untuk sistem operasi Windows 10 pada 14 Oktober ini, melainkan anda menggunakan perkhidmatan sandaran Windows Backup, yang mana komputer anda akan disokong untuk lagi setahun akan datang.