Kemasukan Big Caring ke Singapura, pembukaan 50 cawangan baharu antara pemacu pertumbuhan kumpulan – Penganalisis

LocalBusiness & Finance
5 Nov 2026 • 9:18 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kemasukan Big Caring ke Singapura, pembukaan 50 cawangan baharu antara pemacu pertumbuhan kumpulan – Penganalisis Image from: Kemasukan Big Caring ke Singapura, pembukaan 50 cawangan baharu antara pemacu pertumbuhan kumpulan – Penganalisis liza05/11/2026 - 09:18 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Nov – Big Caring Group Berhad (BCG) dijangka terus mencatatkan pertumbuhan keuntungan dalam tempoh tiga tahun akan datang, disokong peluasan rangkaian farmasi, peningkatan jualan cawangan sedia ada serta sumbangan perniagaan baharu termasuk cadangan pengambilalihan syarikat Singapura, Yeap Medical Supplies (YMS).

 

Penganalisis melihat langkah memasuki pasaran Singapura menerusi YMS sebagai peluang kepada BCG untuk memperluas sumber pendapatan di luar Malaysia, selain membuka ruang jualan silang dalam perniagaan bekalan penjagaan kesihatan.

 

YMS merupakan pemborong dan peruncit barangan perubatan yang mengendalikan tujuh cawangan Pharmex di Singapura. BCG bersetuju mengambil alih 76% kepentingan dalam syarikat itu pada harga SGD16 juta (kira-kira RM51.1 juta).

 

YMS mencatatkan keuntungan selepas cukai SGD1.7 juta daripada hasil SGD25.3 juta bagi tahun berakhir Oktober 2025. BCG turut mempunyai pilihan memperoleh tambahan 10% kepentingan berdasarkan keuntungan YMS bagi tahun berakhir Oktober 2027 dan Oktober 2028.

 

Keuntungan dijangka terus meningkat

MBSB Research mengunjurkan keuntungan bersih teras BCG meningkat 37.3% kepada RM293.6 juta bagi FY2027 berbanding RM213.8 juta pada FY2026.

 

Keuntungan itu dijangka meningkat kepada RM368.7 juta pada FY2028 dan RM433.9 juta pada FY2029, masing-masing mewakili pertumbuhan 25.6% dan 17.7%.

 

MBSB Research menjangkakan hasil kumpulan meningkat kepada RM4.57 bilion pada FY2027, RM5.10 bilion pada FY2028 dan RM5.61 bilion pada FY2029, disokong pembukaan cawangan baharu, pertumbuhan jualan cawangan sama serta sumbangan pengambilalihan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Big Caring lancar prospektus IPO, sasar raih RM2.03 bilion pada harga RM1.08 sesaham

 

Dalam pada itu, TA Research pula mengunjurkan keuntungan teras kumpulan sebanyak RM293.1 juta bagi FY2027, sebelum meningkat kepada RM318.3 juta pada FY2028 dan RM345.4 juta pada FY2029.

 

Harga wajar sehingga RM1.20 sesaham

Dari segi penilaian, TA Research menetapkan harga wajar BCG pada RM1.12 sesaham, mencerminkan potensi kenaikan 3.7% berbanding harga IPO RM1.08 sesaham. Penilaian itu berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 27 kali terhadap unjuran pendapatan sesaham tahun kalendar 2027.

 

MBSB Research pula menetapkan nilai saksama lebih tinggi pada RM1.20 sesaham, bersamaan potensi kenaikan 11.1% daripada harga IPO. Firma itu menggunakan PER 24 kali terhadap unjuran pendapatan sesaham FY2028 sebanyak 5.00 sen, selain menjangkakan hasil dividen 1.9% dan jumlah pulangan 12.9%.

 

Margin dan kedudukan kewangan

BCG menyasarkan pembukaan antara 40 hingga 50 cawangan baharu setiap tahun dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, selain pertumbuhan jualan cawangan sama antara 7% hingga 9%.

 

MBSB Research turut melihat peningkatan sumbangan produk jenama sendiri sebagai faktor yang boleh menyokong margin keuntungan kumpulan. BCG kini mempunyai lebih 1,000 unit simpanan stok (SKU) produk jenama sendiri, manakala Medispec menyasarkan peningkatan produk berdaftar kepada lebih 600 dalam tempoh tiga tahun berbanding 496 ketika ini.

 

Selain itu, pembayaran balik pinjaman menggunakan hasil IPO dijangka mengurangkan kos pembiayaan. Daripada hasil IPO RM637.8 juta, sebanyak RM570.7 juta atau 89.5% diperuntukkan untuk pembayaran balik pinjaman bank.

 

MBSB Research menganggarkan langkah itu mampu menjana penjimatan kos faedah kira-kira RM26.3 juta setahun, selain mengurangkan nisbah penggearan kumpulan daripada 2.8 kali kepada 0.9 kali berdasarkan kedudukan pro forma.

 

Bagaimanapun, MBSB Research mengingatkan bahawa BCG masih berdepan risiko kebergantungan kepada pembekal utama, kekurangan ahli farmasi serta cabaran pelaksanaan pengambilalihan. Kemasukan ke Singapura turut menambah pendedahan kepada risiko mata wang asing dan pelaksanaan operasi dalam pasaran baharu. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved