liza02/11/2026 - 09:15 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Nov – Peningkatan kos pembiayaan sebanyak 72.5% kepada RM69.7 juta bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026 (9MFY26) menjadi antara perkara yang perlu diberi perhatian IGB Real Estate Investment Trust (IGB REIT), susulan pengambilalihan Mid Valley Southkey Mall pada November 2025, kata penganalisis.
Menurut BIMB Securities Research, kos kewangan IGB REIT meningkat daripada RM40.4 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, mencerminkan pertambahan komitmen pembiayaan selepas pengambilalihan pusat beli-belah berkenaan.
Bagaimanapun, peningkatan kos itu berlaku seiring pertumbuhan pendapatan susulan sumbangan aset baharu tersebut. BIMB menyatakan nisbah penggearan bersih (net gearing) IGB REIT masih terkawal pada 30.3% setakat akhir suku ketiga FY26.
“Satu lagi perkara yang perlu diperhatikan ialah pinjaman berjumlah RM1.2 bilion yang dijadualkan matang pada suku ketiga FY27.
“Kami berpandangan, tempoh sebelum pinjaman itu matang memberi masa kepada IGB REIT untuk mendapatkan pembiayaan semula pada kos yang lebih rendah sekiranya keadaan pasaran dan kadar hasil bon bertambah baik,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.
Sumbangan Southkey tingkatkan pendapatan
Di sebalik peningkatan kos pembiayaan, pengambilalihan Mid Valley Southkey mula memberikan sumbangan besar kepada prestasi kewangan kumpulan.
BIMB menganggarkan tambahan hasil sebanyak RM234.4 juta daripada pusat beli-belah di Johor Bahru itu bagi 9MFY26, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan boleh agih sebanyak 49.3% kepada RM486.1 juta berbanding RM325.5 juta sebelumnya.
Bagi suku ketiga FY26, pendapatan boleh agih meningkat 51.8% tahun ke tahun kepada RM156.1 juta, manakala hasil keseluruhan meningkat 50.9% kepada RM249.3 juta daripada RM165.2 juta.
Peningkatan itu turut disokong prestasi Mid Valley Megamall dan The Gardens Mall yang masing-masing merekodkan pertumbuhan hasil sebanyak 3.1% dan 6.4% kepada RM356.3 juta dan RM160.9 juta bagi sembilan bulan berkenaan.
Dalam pada itu, MBSB Research pula melaporkan pendapatan bersih teras IGB REIT meningkat 47.6% kepada RM459 juta bagi 9MFY26, mewakili 78% daripada unjuran setahun penuh firma itu dan 76% daripada anggaran konsensus pasaran.
ARTIKEL BERKAITAN: Mid Valley Southkey di Johor mula diiktiraf dalam hasil IGB REIT, catat kenaikan 50.9%
Kadar penghunian dan prospek sewaan
“Dari segi operasi, kadar penghunian keseluruhan ketiga-tiga pusat beli-belah IGB REIT mencapai 98.5% pada 3QFY26 berbanding 99.4% pada suku sebelumnya.
“Mid Valley Megamall mencatatkan kadar penghunian tertinggi sebanyak 99.6%, diikuti Mid Valley Southkey sebanyak 98.9% dan The Gardens Mall sebanyak 97%,” katanya.
BIMB menyatakan pengurusan IGB REIT mengekalkan panduan pertumbuhan kadar sewa pada kadar satu digit pertengahan (mid-single-digit) bagi FY26, manakala kadar sewa purata di The Gardens Mall dan Mid Valley Southkey masing-masing meningkat kepada RM16.96 dan RM15.17 sekaki persegi pada suku ketiga.
Selain itu, pembaharuan kontrak penyewaan dengan penyewa utama termasuk AEON dan Golden Screen Cinemas (GSC) di Mid Valley Megamall serta Fitness First Platinum dan Red Box di The Gardens Mall telah dimuktamadkan, sekali gus memberikan lebih kepastian terhadap pendapatan sewaan akan datang.
BIMB turut melihat potensi peningkatan jumlah pengunjung Mid Valley Southkey, khususnya dari Singapura, apabila Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru–Singapura mula beroperasi.
Firma itu juga menyatakan pelaksanaan inisiatif penambahbaikan aset (Asset Enhancement Initiatives – AEI) boleh menjadi antara sumber pertumbuhan pendapatan boleh agih pada masa hadapan.
Firma penyelidikan kekalkan pandangan positif
Oleh itu, MBSB Research mengekalkan saranan 'Beli' terhadap IGB REIT dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.90, berbanding harga pasaran RM2.72 pada 30 Oktober 2026.
Firma itu menjangkakan potensi pulangan keseluruhan sebanyak 11.6%, merangkumi jangkaan kenaikan harga saham 6.6% dan hasil dividen 5%.
Sementara itu, BIMB Securities Research mengekalkan nilai saksama IGB REIT pada RM2.80 berdasarkan kaedah Model Diskaun Dividen (Dividend Discount Model – DDM), namun tidak memberikan penarafan pelaburan rasmi terhadap saham berkenaan. - DagangNews.com






