
Seramai 5,715 graduan Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) diraikan dalam Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Timur 2026 yang berlangsung selama lima hari bermula 6 hingga 10 September lalu.
Majlis berkenaan melibatkan graduan dari 26 institusi PolyCC di Pahang, Terengganu dan Kelantan yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Nerus, Terengganu.
Daripada jumlah itu, Pahang merekodkan graduan tertinggi iaitu 2,882 orang, diikuti Kelantan seramai 1,497 orang dan Terengganu sebanyak 1,336 orang.
Kesemua graduan diraikan menerusi sembilan sidang sepanjang tempoh lima hari sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan mereka menamatkan pengajian dalam pelbagai bidang TVET.
Majlis disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah.
Beliau berkata, kejayaan ribuan graduan itu mencerminkan peranan penting TVET dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri dan perkembangan teknologi semasa.
Menurutnya, perkembangan tersebut turut mengukuhkan kedudukan PolyCC sebagai antara peneraju utama pendidikan TVET negara.
“Slogan Hari TVET Negara 2026 iaitu ‘TVET Pilihan Utama Kerjaya’ dengan subtema ‘Kemahiran Dijulang, Masa Depan Gemilang’ jelas menggambarkan hala tuju kita dalam memperkasa pendidikan berasaskan kemahiran,” katanya.
Sementara itu, Shamsuri berkata, keyakinan masyarakat terhadap TVET semakin meningkat apabila kemasukan ke politeknik bagi Sesi Akademik I: 2026/2027 melonjak 138 peratus kepada 32,513 pelajar.
Katanya, peningkatan itu membuktikan politeknik semakin menjadi pilihan pelajar dan ibu bapa untuk melanjutkan pengajian khususnya dalam bidang yang mempunyai prospek kerjaya luas.
Ujarnya lagi, perkembangan tersebut turut disokong pencapaian kebolehpasaran graduan PolyCC yang mencatatkan 98.5 peratus bagi politeknik dan 98.8 peratus bagi kolej komuniti pada 2025.

“Angka ini merujuk kepada graduan yang berjaya memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian.
“PolyCC turut membuka laluan TVET kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang akademik apabila seramai 11,299 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) aliran Kemanusiaan dan Sastera Ikhtisas (KSI) mengikuti bidang teknologi dan kejuruteraan tahun ini,” kongsinya.
Menurut Shamsuri, perkembangan itu membuktikan TVET bukan lagi laluan yang terhad kepada pelajar daripada aliran teknikal semata-mata.
“Transformasi ini bukan sahaja memperluas akses kepada pendidikan TVET, malah membentuk generasi bakat baharu yang memiliki kemahiran, kompetensi dan daya saing yang diperlukan oleh industri,” katanya.
Menurutnya, PolyCC kini mempunyai 36 politeknik dan 106 kolej komuniti di seluruh negara dengan jumlah enrolmen melebihi 100,000 pelajar.
Katanya, ekosistem tersebut turut diperkukuh menerusi jaringan 23,580 rakan industri bagi memastikan program pengajian yang ditawarkan sentiasa relevan dengan keperluan pasaran pekerjaan.
Shamsuri berkata, kejayaan yang dicapai graduan perlu dijadikan sebagai titik permulaan untuk mereka melangkah ke alam pekerjaan dengan membawa bersama ilmu, kemahiran dan pengalaman yang diperoleh.
Menurutnya, graduan juga perlu mempunyai sikap profesional, integriti dan kebolehsuaian selain kesediaan untuk terus menimba ilmu bagi menghadapi perubahan dunia pekerjaan.
“Alam pekerjaan hari ini menuntut bukan sahaja ilmu dan kemahiran teknikal, malah sikap profesional, integriti, kebolehsuaian serta kesediaan untuk terus belajar sepanjang hayat,” katanya.
Beliau berkata, PolyCC akan terus memperkukuh peranannya menerusi Pelan Strategik Politeknik dan Kolej Komuniti (PSPKK) 2026-2035 dalam usaha melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri dan teknologi.
Sementara itu, majlis turut menyaksikan kecemerlangan graduan diraikan menerusi beberapa anugerah utama termasuk Anugerah Ketua Pengarah Politeknik dan Anugerah Ketua Pengarah Kolej Komuniti.
Penerima Anugerah Ketua Pengarah Politeknik, Putri Balqish Qistina Mohammad Hamidi dari Politeknik Muadzam Shah, Pahang menyifatkan kejayaan memperoleh keputusan akademik cemerlang itu sebagai hasil usaha dan kesungguhan yang diberikan sepanjang tempoh pengajian.
Graduan Diploma Teknologi Maklumat (Teknologi Digital) itu mencatatkan Himpunan Purata Nilai Mata (HPNM) sempurna 4.00 dan konsisten menerima Anugerah Ketua Jabatan sepanjang lima semester pengajian.
Menurutnya, pencapaian tersebut menjadi satu kepuasan selepas segala usaha yang dicurahkan sepanjang mengikuti pengajian akhirnya membuahkan hasil.
“Anugerah ini juga memberi semangat kepada saya untuk terus meningkatkan diri dan tidak berhenti belajar walaupun sudah tamat pengajian,” katanya.
Menurut Putri Balqish Qistina, pengalaman sepanjang berada di PolyCC turut memberikan peluang kepadanya untuk membina keyakinan diri selain mengembangkan kemahiran yang diperlukan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
“Bagi saya, apa yang dipelajari sepanjang pengajian bukan hanya mengenai akademik tetapi juga bagaimana untuk menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab dan bersedia menghadapi cabaran selepas tamat belajar,” katanya.
Majlis Konvokesyen PolyCC Zon Timur 2026 bukan sahaja meraikan kejayaan 5,715 graduan, malah turut menjadi bukti perkembangan pendidikan TVET sebagai laluan penting dalam membentuk tenaga kerja berkemahiran dan berdaya saing.
The post Kemasukan politeknik melonjak 138% appeared first on Kosmo Online.






