Kematian Pelajar Tahun 4 Berpunca Akibat Tekanan Pada Leher – Polis

LocalPolitics
3 Oct 2025 • 10:02 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Pada 1 Oktober lalu, media melaporkan seorang murid tahun empat ditemui tidak sedarkan diri di dalam tandas sebuah sekolah kebangsaan di Senawang, Negeri Sembilan sebelum dibawa ke klinik swasta dan disahkan meninggal dunia.

Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, pihaknya telah bergegas ke lokasi kejadian kira-kira jam 1.19 petang.

Berdasarkan maklumat awal mendapati kanak-kanak lelaki ini meninggalkan kelas kira-kira jam 12.10 tengahari sebelum ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Susulan itu, polis mengklasifikasikan kes tersebut di bawah Seksyen 507C Kanun Keseksaan iaitu buli melalui komunikasi.

Malah, proses bedah siasat turut dilakukan semalam (2 Oktober) di Hospital Rembau, Negeri Sembilan bagi mengenal pasti punca kematian.

Polis Dedah Punca Kematian Pelajar Tahun 4 Adalah Tekanan Pada Leher

Terbaharu, polis mendedahkan punca kematian pelajar lelaki yang berusia 10 tahun itu adalah disebabkan tekanan pada leher.

Menurut Alzafny, ia berdasarkan hasil laporan bedah siasat yang dijalankan oleh Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau pada petang semalam (2 Oktober).

“Bedah siasat dijalankan ke atas mangsa mendapati punca kematian disebabkan tekanan pada leher.

“Hasil bedah siasat juga mendapati tiada sebarang kecederaan lain pada tubuh badan mangsa,” katanya.

27 Keterangan Telah Dirakam & Siasatan Menyeluruh Sedang Dijalankan

Jelas Alzafny, sehingga kini, sebanyak 27 keterangan telah dirakam dan siasatan secara menyeluruh sedang dijalankan.

“Ia termasuk mengenal pasti punca tindakan sebelum kejadian sehingga kepada siasatan ketika mangsa dijumpai tidak sedarkan diri dalam tandas.

“Polis menggesa supaya diberi ruang untuk menjalankan siasatan yang telus dan dilaksanakan dengan mengambil kira pematuhan terhadap sensitiviti kanak kanak yang dilindungi di bawah peruntukan Undang-Undang Akta Kanak Kanak 2001 memandangkan siasatan juga membabitkan saksi kanak kanak.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi tidak berasas yang boleh mengganggu proses siasatan,” ujarnya lagi.

Jenazah Kanak-Kanak Lelaki Selamat Dikebumikan

Jenazah kanak-kanak lelaki berkenaan dibawa keluar dari Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau selepas hampir tiga jam proses bedah siasat dilakukan iaitu kira-kira jam 6.30 petang.

Jenazah mangsa kemudiannya telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Heights selepas solat maghrib.

KPM Jamin Beri Kerjasama Penuh Bantu Proses Siasatan

Dalam pada itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberi jaminan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memberi kerjasama penuh dengan pihak polis kepada proses siasatan yang sedang berjalan.

“Semoga roh allahyarham anakanda ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Saya juga mendoakan semoga keluarga diberi kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian ini.

“Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tanggungjawab penuh dan memberi jaminan akan terus berkerjasama dengan pihak polis bagi memastikan siasatan yang telus serta keadilan buat keluarga,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Jenazah anakanda kes kematian di sebuah sekolah di Negeri Sembilan telah selamat dikebumikan malam tadi. Semoga roh…

Posted by Fadhlina Sidek on Thursday 2 October 2025

Source: