Kemelut dalaman Bersatu: Saifuddin Abdullah dipanggil Lembaga Disiplin Khamis ini

LocalPolitics
3 Nov 2025 • 12:39 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dipanggil Lembaga Disiplin Bersatu bagi siasatan susulan kenyataannya yang didakwa menggesa presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur.

Beliau yang merupakan antara 16 Ahli Parlimen yang menghantar surat kepada Muhyiddin bagi menyuarakan kebimbangan perpecahan dalam parti baru-baru ini, diminta menghadiri sesi perjumpaan tersebut pada Khamis ini, di Ibu Pejabat Bersatu.

“Kira-kira jam 1.52 petang tadi, saya menerima notis untuk menghadiri sesi perjumpaan bersama Ahli Jawatankuasa Lembaga Disiplin di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya, pada jam 4.30 petang, Khamis ini.

"Namun, saya meminta sesi berkenaan diawalkan kerana ada program di luar Kuala Lumpur yang perlu dihadiri di sebelah malam pada tarikh berkenaan, jadi saya meminta sesi itu diawalkan pada jam 2 petang,’’ katanya menerusi kenyataan kepada media malam tadi.

Saifuddin sebelum ini merupakan antara pemimpin yang menyuarakan kebimbangan terhadap perpecahan yang semakin ketara dalam parti Bersatu dan menggesa kepimpinan supaya memulihkan kestabilan, termasuk dalam Perikatan Nasional (PN).

Dalam kenyataannya kepada Scoop pada Ahad, beliau berkata surat yang tular baru-baru ini, yang mengandungi tandatangan 16 Ahli Parlimen adalah bagi menyatakan 'kebimbangan serius' mengenai situasi yang berlaku dalam Bersatu ketika ini.

Saifuddin berkata Ahli-Ahli Parlimen itu tidak berniat menjejaskan legasi Muhyiddin sebaliknya mahu membawa parti ke hadapan.

“Tan Sri Muhyiddin masih hidup dalam kegemilangan masa lalu, masih bercakap ketika dia menjadi Perdana Menteri. Itu legasi beliau dan kami menghargainya serta akan mempertahankannya tetapi kita juga perlu menawarkan perkara baharu kepada rakyat termasuk muka baru,” katanya.

Saifuddin dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli masing-masing digugurkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang dan Perlis pada 27 Oktober lalu.

Khamis lalu, tiga Ketua Bahagian Bersatu telah dipanggil Lembaga Disiplin bagi siasatan berhubung dakwaan terlibat dalam gerakan menjatuhkan Muhyiddin sebagai presiden Bersatu dan pengerusi PN.

Mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis; Ketua Bahagian Sepang, Datuk Mohd Suhaimi Ghazali dan serta Ketua Bahagian Puchong, Mohd Shukor Mustafa.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan telah dipecat dari parti manakala Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang digantung selama enam bulan oleh Lembaga Disiplin itu.

Mereka dipercayai antara 120 ketua bahagian Bersatu yang menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menggesa Muhyiddin berundur dan menyerahkan tampuk kepimpinan kepada Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainuddin. - 3 November, 2025

The post Kemelut dalaman Bersatu: Saifuddin Abdullah dipanggil Lembaga Disiplin Khamis ini appeared first on Scoop.