‘Kerajaan Persekutuan belum tunjuk ketelusan’

LocalPolitics
1 Nov 2025 • 4:39 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, menggesa Kerajaan Persekutuan menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah yang perlu dipulangkan oleh kerajaan pusat, dan tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Berucap pada perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat, beliau berkata kerajaan pusat masih belum menunjukkan ketelusan dalam menguruskan kewangannya.

“Pada 17 Oktober 2025, Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) memenangi kes di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai tuntutan 40 peratus hasil Sabah yang mesti dikembalikan oleh kerajaan persekutuan kepada Sabah.

“Perjuangan SLS mempertahankan kepentingan rakyat Sabah amat terpuji dan perlu dikenang serta dihargai oleh semua rakyat negeri ini,” katanya.

Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober itu antara lain memutuskan bahawa kerajaan persekutuan telah melanggar tanggungjawab perlembagaan di bawah Perkara 112D (1), (3) dan (4) kerana gagal menjalankan semakan kedua terhadap pemberian khas Sabah pada 1994 bersama kerajaan negeri.

Beliau menjelaskan bahawa semakan itu bukan pilihan, tetapi satu kewajipan perlembagaan untuk memastikan hak kewangan Sabah bagi pembangunan sejajar dengan kemajuan semasa.

Jonathan berkata kegagalan atau keengganan untuk melaksanakan semakan tersebut merupakan pelanggaran jelas terhadap Perkara 112D. Beliau menambah bahawa mahkamah turut mengesahkan bahawa di bawah Perkara 112C yang dibaca bersama Seksyen 2(1) Bahagian 4 Jadual Kesepuluh, Sabah masih berhak ke atas 40 peratus hasil bersih yang diperoleh kerajaan persekutuan dari negeri itu.

“Saya telah meneliti jawapan dan respons daripada pemimpin kerajaan serta pihak luar kerajaan mengenai keputusan ini.

“Antaranya, kerajaan menyatakan bahawa perbelanjaan yang diberikan kepada Sabah, misalnya bagi 2025 dan 2026 sekitar RM14 bilion, adalah lebih besar berbanding hasil yang dikutip pada 2022, 2023 dan 2024 yang hanya sekitar RM10 bilion.

“Secara ringkasnya, apa yang cuba disampaikan ialah kerajaan persekutuan telah memberi lebih banyak kepada Sabah. Hasil yang diperoleh daripada Sabah kecil, tetapi apa yang disalurkan ke Sabah jauh lebih besar, malah berbilion ringgit lebih banyak,” katanya.

Namun, beliau percaya kenyataan itu hanya alasan untuk melengahkan tuntutan 40 peratus berkenaan.

“Realitinya, jumlah hasil yang diperoleh kerajaan persekutuan, agensi berkanun dan syarikat berkepentingan Semenanjung di Sabah sebenarnya jauh lebih besar daripada apa yang dikembalikan kepada Sabah,” katanya.

Jonathan mengambil contoh Petronas yang menjana pendapatan berbilion ringgit sehingga disenaraikan antara 500 jenama paling bernilai di dunia dengan nilai mencecah AS$14.4 bilion.

“Adakah pendapatan ini dimasukkan dalam sistem kewangan negara? Tidak. Hanya cukai kecil yang direkodkan. Tetapi berbilion ringgit yang dijana Petronas digunakan oleh kerajaan persekutuan.

“Jadi hakikatnya, kekayaan Sabah telah dibawa keluar. Pihak yang mengawal Petronas ialah kerajaan persekutuan,” katanya.

Beliau menegaskan rakyat Sabah mungkin akan membawa isu tersebut ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa untuk menilai semula perjanjian pembentukan Malaysia, jika mereka terus diberi layanan tidak adil.