KUALA LUMPUR - Kelangsungan pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan serta persidangan bagi pembentangan Belanjawan 2027 perlu diberi keutamaan berbanding pertikaian berkaitan kepimpinan adat yang masih berlarutan di negeri itu.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN dan UMNO tidak akan campur tangan dalam pertikaian membabitkan Dewan Keadilan dan Undang, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada institusi adat berkaitan untuk diselesaikan.
“Jika pertikaian berkaitan adat yang membabitkan Dewan Keadilan dan Undang masih berterusan, perkara itu bukan sesuatu yang perlu dicampuri oleh BN atau UMNO.
“Kita serahkan kepada pihak yang berkenaan untuk menyelesaikannya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung MCA Keempat bagi penggal ke-30 Perwakilan Pusat, di sini, hari ini.
Beliau berkata, BN dan UMNO Negeri Sembilan akan mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan supaya persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dapat diteruskan seperti dirancang.
Menurutnya, BN juga akan berusaha mencari penyelesaian secara baik bagi memastikan pentadbiran negeri terus berjalan, susulan pertemuan membabitkan 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di tengah-tengah kemelut politik yang berlaku.
Zahid turut merujuk kepada pendirian solidariti yang ditunjukkan oleh 24 ADUN berkenaan serta kenyataan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang diharap dapat membuka ruang kepada penyelesaian menyeluruh terhadap kemelut itu.
“Semoga solidariti yang ditunjukkan oleh 24 ADUN ini dapat membantu membawa kepada penyelesaian yang menyeluruh dan muktamad,” katanya. - Getaran, 22 November 2026





