
KUALA LUMPUR - UMNO Negeri Sembilan telah mengarahkan semua ahli Exco dari parti itu untuk membersihkan pejabat mereka di Wisma Negeri dan memulangkan kenderaan rasmi, termasuk aset kerajaan, hari ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, semua aset tersebut perlu dipulangkan kepada setiausaha kerajaan negeri.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat susulan tindakan semua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang sebulat suara mengumumkan kehilangan keyakinan mereka terhadap kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Serentak dengan itu, kesemua ADUN berkenaan turut mengisytiharkan penarikan semula sokongan terhadap Aminuddin.
“Apabila saya mengumumkan bahawa saya tidak lagi yakin dengan Menteri Besar dan menarik balik sokongan kepada Kerajaan Perpaduan, kedudukan saya sebagai ahli exco secara automatik jatuh.
“Hari ini, saya telah mengarahkan semua ahli Exco UMNO untuk menyerahkan semua kemudahan, termasuk kenderaan rasmi, kepada kerajaan negeri,” katanya, seperti dilaporkan Sinar Harian.
Jalaluddin, yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, memegang portfolio Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Luar Bandar, Perladangan dan Komoditi dan Jawatankuasa Tindakan Pertanian, Keselamatan Makanan dan Kos Sara Hidup, selain berkhidmat sebagai Exco Kanan.
Lain-lain termasuk ADUN Seri Menanti, Datuk Ismail Lasim (Exco Pendidikan dan Modal Insan) dan ADUN Palong Mustapha Nagoor (Exco Pembangunan Belia dan Sukan).
ADUN Linggi Datuk Mohd Faizal Ramli memegang portfolio Jawatankuasa Tindakan Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital. – Getaran, 28 April 2026






