Kemenangan AfD cetus bantahan di Berlin

WorldPolitics
8 Sep 2026 • 2:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kemenangan AfD cetus bantahan di Berlin

BERLIN: Ribuan penunjuk perasaan berkumpul di Brandenburg Gate, Berlin bagi menolak parti kanan jauh Alternative for Germany (AfD), selepas parti itu mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya negeri pada Ahad.

Polis Berlin menganggarkan kira-kira 5,000 orang menyertai perhimpunan itu pada pukul 7 malam (waktu tempatan), sejam selepas ia bermula, manakala penganjur bersama Campact menganggarkan jumlah peserta mencecah 14,000 orang.

Gelombang bantahan terhadap AfD pada awal 2025 sebelum ini menarik ratusan ribu peserta di seluruh Jerman, termasuk himpunan besar-besaran di ibu negara itu.

“Jumlah peserta yang jauh lebih kecil pada petang Isnin ini menunjukkan rakyat masih belum benar-benar bangkit dan menyedari bahawa keadaan sudah semakin genting.

“Saya melihat demokrasi di negara kita kini berada di bawah ancaman serius,” kata seorang penunjuk perasaan, Marie-Therese Hattendorf, kepada AFP.

AfD kini merupakan parti kedua terbesar dalam Parlimen Jerman dan selama beberapa bulan mendahului tinjauan pendapat di peringkat nasional.

Pada Ahad, AfD mencatat kemenangan besar ke atas parti CDU pimpinan Canselor Friedrich Merz yang berhaluan tengah-kanan, apabila meraih hampir 44 peratus undi di negeri Saxony-Anhalt, timur Jerman, sebuah wilayah yang berdepan masalah ekonomi dengan kira-kira 2.1 juta penduduk.

Kemenangan AfD itu disifatkan sebagai gempa politik di Jerman, sekali gus meletakkan parti kanan jauh itu di ambang menerajui kerajaan negeri buat kali pertama sejak era Nazi.

Seorang lagi penunjuk perasaan yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Alice berkata, keputusan pilihan raya itu membuatkannya berasa tertekan.

Dia menghadiri demonstrasi bersama anak lelakinya bagi menyuarakan sokongan terhadap masyarakat terbuka yang membuatkan semua orang berasa dialu-alukan dan difahami.

“Kami bimbang demokrasi kita sedang runtuh,” kata seorang lagi penunjuk perasaan berusia 68 tahun, Ellen, kepada AFP ketika berdiri di bawah mercu tanda Berlin itu.

Suaminya, Michael, menyifatkan keputusan pilihan raya berkenaan sebagai ‘amat meresahkan’.

Beberapa penunjuk perasaan menyalahkan kerajaan Merz kerana gagal menangani rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.

Merz pada Isnin berkata, beliau amat terkejut dengan keputusan itu, namun berikrar untuk meneruskan pelaksanaan beberapa siri pembaharuan.

Dua lagi pilihan raya negeri akan berlangsung pada 20 September di Berlin dan negeri Mecklenburg-Western Pomerania di timur Jerman.-AFP

The post Kemenangan AfD cetus bantahan di Berlin appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved