Kementerian Pertanian, PNB Research bekerjasama perkukuh penyelidikan agromakanan

09/09/2025 - 16:49
Gambar Unsplash.com Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 9 Sept – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menjalin kerjasama dengan anak syarikat penyelidikan Permodalan Nasional Bhd, PNB Research Institute Sdn Bhd bagi memperkukuh penyelidikan dalam sektor pertanian dan makanan negara.
Kerjasama itu adalah satu langkah penting dalam memajukan sektor agromakanan tempatan melalui dasar berasaskan data, penyelidikan dan pembangunan, serta pembangunan kapasiti.
Melalui perjanjian ini, PNB Research Institute diberikan akses kepada data agromakanan nasional penting daripada kementerian yang membolehkan institut tersebut menganalisis dan menghasilkan maklumat strategik bagi sektor berkenaan.
Penyelidikan dan analisis dijangka dijalankan dari 2025 hingga 2027 dengan tumpuan kepada perkongsian ilmu, pembangunan pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional pertanian, serta penggunaan data daripada Banci Pertanian 2024.
Inisiatif ini selaras dengan Dasar AgroMakanan Negara 2021-2030 dan merupakan sebahagian daripada strategi kementerian untuk memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi dalam sektor tersebut.
Selain itu, inisiatif ini turut menyokong pendigitalan pertanian, membuka peluang baharu dan membantu merangka hala tuju yang lebih kukuh untuk masa depan pertanian di Malaysia.

Menteri Pertanian, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, MoU tersebut mencerminkan komitmen kerajaan untuk memodenkan sektor pertanian.
Beliau berkata, kerjasama itu juga membuktikan era baharu kerjasama awam-swasta antara kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi pembangunan sektor pertanian dan agromakanan negara.
“Kepakaran PNB Research Institute dalam analisis data dan penyelidikan ekonomi akan terus menguatkan usaha kerajaan untuk meningkatkan daya tahan dan kelestarian sektor agromakanan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, walaupun sektor agromakanan menyumbang RM45.5 bilion atau 11% daripada KDNK negara pada suku pertama 2025, terdapat kekurangan dalam beberapa aspek keselamatan makanan.
“Menurut Indeks Keselamatan Makanan Global, Malaysia berada di tangga ke-41 daripada 113 negara menunjukkan keperluan mendesak untuk kerjasama penyelidikan strategik bagi memperkukuh daya saing pengeluaran makanan dan keselamatan makanan negara,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif ini selaras dengan GEAR-uP, yang menyelaraskan usaha di kalangan GLIC untuk merangsang pertumbuhan sektor ekonomi utama negara, dan diharap menjadi pemangkin bagi lebih banyak kerjasama berimpak tinggi demi kemakmuran sosioekonomi negara. - DagangNews.com
standard




