Keterbukaan Malaysia jadikan negara destinasi pilihan pembeli hartanah asing – Juwai IQI

09/09/2025 - 17:54
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 9 Sept – Malaysia menjadi destinasi utama pembeli hartanah asing dan pelabur antarabangsa dengan lonjakan pertanyaan hartanah 52.5% selepas negara lain menutup pasaran mereka.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, strategi keterbukaan Malaysia membolehkan sumbangan ekonomi daripada penduduk asing melonjak kepada lebih RM84.2 bilion setahun.
“Dari Vancouver hingga Seoul, kerajaan menutup pintu mereka kepada pembeli hartanah asing dan dasar itu menjejaskan ekonomi mereka.
“Korea mengenakan larangan pembeli asing hanya tiga minggu lalu, Kanada melanjutkan larangan sehingga 2027, Australia tidak membenarkan pembelian rumah sedia ada manakala beberapa negeri di Amerika Syarikat dan Singapura mengenakan cukai tambahan kepada pembeli asing.
“Malaysia yang mengamalkan dasar terbuka menang dalam pasaran global ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Larangan pembelian hartanah oleh rakyat asing di negara lain menghantar isyarat tidak mesra dan menyukarkan persaingan untuk pelaburan, pekerjaan dan teknologi, manakala Malaysia kekal terbuka dan menarik pelabur antarabangsa.
Beliau berkata, data Juwai IQI menunjukkan pertanyaan pembeli asing meningkat setiap bulan secara purata melalui portal mereka dan rangkaian ejen di 33 negara berbanding 2024.
“Dalam tempoh dua minggu selepas pengumuman larangan Korea, sekurang-kurangnya enam pertanyaan diterima daripada pembeli yang asalnya ingin ke Seoul tetapi kini mencari alternatif di Malaysia.
“Bilangan pelajar China di Malaysia meningkat hampir dua kali ganda dalam tiga tahun iaitu daripada 82,000 pada 2022 kepada 200,000 pelajar pada 2025.
“Setiap pelajar menyumbang purata RM46,000 setahun kepada ekonomi tempatan, menjadikan sumbangan tahunan mereka kira-kira RM9.2 bilion,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, ekspatriat mahir turut meningkat kepada 120,183 orang menjelang suku keempat 2024.
“Mereka menyumbang RM75 bilion, bersamaan 4.8% daripada KDNK Malaysia, dan membayar RM100 juta cukai pendapatan tahunan kepada kerajaan.
“Gabungan sumbangan pelajar China dan ekspatriat menjadikan jumlah sumbangan ekonomi daripada penduduk asing mencapai RM84.2 bilion setahun, belum termasuk pemegang Malaysia My Second Home (MMSH),” katanya.
Pemegang MM2H mencatat RM11.9 bilion antara 2002 dan 2019 dan kini terdapat lebih daripada 58,000 pemegang visa aktif, meningkat ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Beliau berkata, Kuala Lumpur kekal sebagai destinasi utama pembeli asing, menarik 44% daripada semua pertanyaan manakala Sabah berada di tempat kedua dengan 22% pertanyaan, diikuti Johor, Selangor, dan Pulau Pinang.
“Kuala Lumpur menarik pembeli kerana menjadi hab komersial dan budaya Malaysia dengan kewujudan sekolah antarabangsa, hospital terkemuka dan kondominium mewah yang lebih mampu milik berbanding Singapura atau Hong Kong.
“Sabah pula terkenal sebagai destinasi gaya hidup dan persaraan, dengan pantai, hutan hujan, Gunung Kinabalu dan penerbangan terus ke seluruh Asia.
“Johor pula menarik minat pembeli kerana berdekatan dengan Singapura, menjadikannya lokasi pilihan untuk rumah keluarga dan pelaburan. Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura serta laluan kereta api RTS yang akan datang dijangka meningkatkan lagi daya tarikan dan peluang ekonomi baharu,” katanya.
Tambahnya, Selangor menawarkan kombinasi pinggir bandar moden seperti Petaling Jaya dan Shah Alam dengan hab teknologi dan pendidikan seperti Cyberjaya manakala Pulau Pinang pula menarik pelabur dan pesara dengan gaya hidup pulau, bandar warisan Georgetown, ekonomi berasaskan pelaburan langsung asing (FDI) dan terkenal sebagai destinasi utama perubatan di Malaysia.
“Keterbukaan Malaysia merupakan kelebihan daya saing utama negara. Ia tidak hanya menarik pelaburan dan mewujudkan pekerjaan.
“Ia juga menguatkan pasaran hartanah mewah serta meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi pembeli antarabangsa, pelajar, ekspatriatdan pemegang pas MM2H,” katanya. - DagangNews.com
standard


