
MELAKA – Kementerian Pertahanan menerusi Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) melaksanakan Kempen Harga Istimewa Tentera Sejahtera (HITS) dengan menawarkan barangan keperluan harian pada harga lebih rendah berbanding pasaran secara berterusan, sebagai usaha meringankan kos sara hidup serta memperkukuh kebajikan dan kesejahteraan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), veteran dan keluarga mereka.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelaksanaan kempen HITS merupakan inisiatif tambahan kepada program Jualan Istimewa MADANI Angkatan Tentera (JIMAT) yang sebelum ini hanya dilaksanakan selama tiga hari ketika anggota menerima gaji, selain tertakluk kepada kuota barangan tertentu.
HITS menawarkan kepada penjimatan secara berterusan tanpa terikat kepada tempoh jualan dan kuota barangan tertentu.
Menurutnya, menerusi HITS, anggota tentera boleh menikmati penjimatan pada bila-bila masa tanpa had kuota pembelian, sekali gus memberi ruang kepada mereka mengurus perbelanjaan isi rumah dengan lebih baik.
“Melalui program ini, PERNAMA akan menawarkan harga yang lebih murah berbanding harga pasaran. Kita mahu penjimatan itu dapat dirasai oleh anggota ATM, keluarga dan juga veteran.
“PERNAMA bukan sekadar sebuah kedai runcit, sebaliknya instrumen kesejahteraan warga tentera,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Kempen HITS sempena Lawatan Menteri Pertahanan di Kem Terendak di sini semalam.
Mohamed Khaled berkata, perbelanjaan isi rumah merangkumi sebahagian besar komitmen kewangan keluarga anggota tentera, justeru usaha mengurangkan kos pembelian barangan keperluan mampu membantu meningkatkan kesejahteraan mereka.
Menurutnya, wang yang dijimatkan boleh digunakan untuk keperluan lain termasuk menyediakan pendidikan lebih baik kepada anak-anak serta meningkatkan kualiti kehidupan keluarga.
Beliau memberikan contoh, jika satu bakul barangan yang sama berharga RM100 di pasaran, pembelian menerusi PERNAMA boleh menelan belanja sekitar RM70, sekali gus menjimatkan RM30.
“Antara barangan yang ditawarkan pada harga HITS termasuk beras Faiza pada harga RM28.50 berbanding RM31.99 di pasaran, minyak masak RM12 berbanding RM13 serta bihun RM2.50 berbanding RM3.25.
“Susu bayi turut ditawarkan pada harga RM13.80 berbanding RM21.45 di pasaran, manakala satu lagi jenis beras Faiza yang berharga RM38.60 di pasaran dijual pada harga RM30.50 menerusi kempen berkenaan,” ujarnya.
Beliau berkata, penjimatan itu dijangka lebih ketara bagi keluarga yang membeli barangan keperluan dalam jumlah lebih banyak, sekali gus membolehkan lebihan wang disimpan untuk kegunaan pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled menegaskan, PERNAMA perlu mengubah pendekatan operasinya supaya lebih mengutamakan kebajikan anggota tentera berbanding keuntungan perniagaan.
Beliau berkata, PERNAMA yang mempunyai kira-kira 80 kedai di kem-kem tentera seluruh negara perlu memanfaatkan rangkaiannya untuk memastikan manfaat penjimatan dapat dinikmati warga ATM secara meluas.
“PERNAMA wujud untuk Angkatan Tentera, bukan untuk membuat keuntungan daripada Angkatan Tentera. Keuntungan itu perlu dikawal supaya manfaatnya dikembalikan kepada anggota tentera.
“Kita mahu PERNAMA hari ini berbeza daripada dahulu dan terus meningkatkan peranannya sebagai penyumbang kepada kesejahteraan anggota, veteran serta keluarga mereka,” katanya. -KOSMO! ONLINE
The post Kempen HITS PERNAMA tawar harga lebih murah appeared first on Kosmo Online.



